Tu Tontawan & Syafiq Kyle Rangkul Anugerah FPA Asia-Pacific Rising Icon di APFF Ke-62
- Atiqah Halim

- 1 day ago
- 2 min read

Pelakon sensasi dari Thailand, Tontawan Tantivejakul atau lebih dikenali sebagai Tu Tontawan, diumumkan sebagai penerima terbaharu Anugerah FPA Asia-Pacific Rising Icon semperna Festival Filem Asia Pasifik Ke-62. Lebih menarik, beliau bakal berkongsi pentas bersama wakil Malaysia, Syafiq Kyle, yang telah diumumkan lebih awal sebagai penerima anugerah sama.
Kedua-dua bintang muda ini akan menerima pengiktirafan tersebut pada Malam Anugerah APFF Ke-62 yang dijadual berlangsung pada 6 Disember 2025 di Auditorium Bandaraya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Nama Tu Tontawan kini sedang berada di puncak apabila lakonannya dalam filem drama keluarga Thailand, How to Make Millions Before Grandma Dies dan drama siri F4 Thailand: Boys Over Flowers yang mencetuskan gelombang tersendiri di peringkat Asia. Lakonan beliau menjadi antara fenomena box-office terbesar pada tahun 2021 hingga 2025, sekali gus melonjakkan Tu sebagai antara wajah baharu paling berpengaruh dalam filmografi Asia Tenggara.
Lakonannya yang sarat emosi bukan sahaja menambat hati penonton, malah mendapat pujian tinggi daripada pengkritik, membuktikan beliau bukan sekadar bintang tular, tetapi pelakon dengan kredibiliti yang kukuh.

Sementara itu, Syafiq Kyle pula terus mengukuhkan namanya sebagai antara pelakon lelaki paling versatil di Malaysia. Keupayaannya membawa watak pelbagai genre serta sokongan padu peminat menjadikan beliau pilihan tepat sebagai ikon kebangkitan dari Malaysia.
Pemilihan dua figura ini sebagai penerima Rising Icon tahun ini jelas mencerminkan hala tuju baharu industri perfileman Asia Pasifik yang kini semakin didominasi bakat muda dengan pengaruh serantau dan antarabangsa.
Anugerah Rising Icon ini dianugerahkan oleh Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific atau FPA bagi mengiktiraf pelakon generasi baharu yang dilihat mampu membentuk masa depan filmografi rantau ini.
Festival Filem Asia Pasifik Ke-62 dianjurkan oleh Lomo Pictures Sdn. Bhd. dengan sokongan FPA serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia atau FINAS.
Malam anugerah berprestij ini bakal berlangsung pada 6 Disember 2025. Untuk perkembangan terkini, orang ramai boleh mengikuti APFF di Facebook dan Instagram atau melayari laman rasmi mereka.









Comments