top of page

Tomok Kembali dengan “Buah Hati”, Lagu Penuh Emosi Tentang Kasih Keluarga

  • Writer: N
    N
  • 19 hours ago
  • 2 min read

Kalau sebut nama Tomok, ramai terus teringat lagu-lagu yang dekat dengan emosi. Awal tahun 2026 ini, penyanyi popular itu kembali dengan single baharu berjudul “Buah Hati”, sebuah lagu yang mengangkat tema kasih sayang keluarga dan keikhlasan cinta ibu bapa, ringkas, jujur dan sangat relatable untuk pendengar Malaysia.

Single “Buah Hati” bukan sekadar lagu baharu Tomok, tapi satu refleksi tentang perasaan yang ramai antara kita simpan dalam hati, terutama bila bercakap soal anak, keluarga dan doa yang tak pernah putus.


Lagu ini merupakan hasil ciptaan Tomok sendiri bersama Barr Hadif, manakala liriknya ditulis oleh personaliti terkenal, Fedtri Yahya. Gabungan ini menghasilkan sebuah karya yang tenang dari segi melodi, tapi kuat dari segi mesej.


“Buah Hati” menceritakan kasih sayang ibu bapa yang tulus dan tanpa syarat, tentang melindungi, membimbing, berkorban, dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak agar membesar dengan bahagia dan kuat.


Menurut Tomok, lagu ini sangat dekat dengan kehidupannya sekarang.

‘Buah Hati’ adalah sebuah lagu yang sangat dekat di hati saya dan diciptakan khas buat keluarga serta mereka yang saya sayangi,” kata Tomok.

Sentuhan lirik oleh Fedtri Yahya pula menjadikan mesej lagu ini terasa lebih matang, jujur dan menyentuh tanpa perlu terlalu dramatik.


Selain mesej kekeluargaan yang kuat, apa yang buat “Buah Hati” benar-benar mencuri perhatian ialah pendekatan Tomok bersama peminat.


Untuk video lirik rasmi, Tomok menampilkan foto-foto peminat bersama insan tersayang, semuanya dihantar sendiri oleh peminat. Daripada gambar bersama anak, ibu bapa, pasangan sehinggalah keluarga kecil, semuanya disusun menjadi visual yang penuh emosi.

Pendekatan ini bukan saja buat lagu terasa lebih peribadi, tapi juga menunjukkan usaha Tomok untuk benar-benar mendekati penyokong setianya, bukan sekadar berkongsi muzik, tapi juga emosi dan cerita hidup.


Bagi yang mengikuti perjalanan seni Tomok, nama ini bukan asing dalam industri hiburan tempatan. Bermula seawal usia 15 tahun bersama kumpulan NEW BOYZ sekitar 1999, Tomok terus mencipta nama sebelum dinobatkan sebagai juara program realiti One In A Million.


Sejak itu, Tomok kekal relevan sebagai penyanyi, komposer dan kini juga usahawan seni menerusi penubuhan Popsicle Records pada tahun 2018. Syarikat ini bukan sahaja menerbitkan karya muzik, malah berjaya menganjurkan konsert di dalam dan luar negara sepanjang 2023 dan 2024.


Sebelum “Buah Hati”, Tomok turut mendapat sambutan positif menerusi beberapa rilisan termasuk kolaborasi bersama Siti Nordiana seperti Memori Mungkin Berulang dan Gelora Jiwa Meronta Asmara.

Single “Buah Hati” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama. Video lirik rasmi pula boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Popsicle Records.


Kalau anda jenis yang suka lagu-lagu berunsur kekeluargaan, emosi sederhana tapi mendalam, lagu ini memang sesuai jadi teman dengar sama ada dalam kereta, di rumah, atau masa tengah termenung sendiri. Kadang-kadang, lagu yang paling simple itulah yang paling kena dengan hati.

Comments


bottom of page