top of page

“Tolong… Datanglah. Kereta Kebal Dah Mendekat.” Suara Kecil Dari Gaza Ini Buat Ramai Terdiam

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 1 day ago
  • 2 min read
ree

Primeworks Studios sekali lagi mencuri perhatian, kali ini bukan dengan visual besar atau muzik dramatik, tetapi melalui keheningan yang menyesakkan. Teaser berdurasi 15 saat bagi filem The Voice of Hind Rajab tampil ringkas, tenang dan sangat mengganggu emosi, hanya bergantung pada satu elemen utama iaitu suara seorang kanak-kanak yang merayu untuk diselamatkan.


Tanpa sebarang visual sensasi, teaser ini dibuka dengan satu ayat yang terus merentap jiwa, “Tolong… datanglah. Kereta kebal dah mendekat.” Suara itu kemudian disambut dengan pertanyaan perlahan, “Apa nama kamu?”, sebelum kembali disusuli rayuan yang semakin rapuh, “Nama saya Hind Rajab Hamada. Tolong jangan tinggalkan saya. Saya keseorangan.” Dalam tempoh yang singkat, emosi penonton diperah tanpa belas.


Suara tersebut milik Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terperangkap di dalam sebuah kereta di Gaza ketika cuba mendapatkan bantuan kecemasan dalam satu kejadian sebenar pada 29 Januari 2024. Filem ini menggabungkan rakaman audio sebenar panggilan kecemasan Hind bersama lakonan skrip, namun suara asal itu dikekalkan sebagai nadi utama penceritaan. Keputusan ini menjadikan penantian Hind terasa lebih nyata, sunyi dan menyayat hati.


Diarahkan oleh Kaouther Ben Hania, The Voice of Hind Rajab menampilkan barisan pelakon Palestin antaranya Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury. Menariknya, projek ini turut mendapat sokongan dua nama besar Hollywood, Brad Pitt dan Joaquin Phoenix, yang terlibat sebagai penerbit eksekutif.


Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam Malaysia Januari ini dan telah tersenarai pendek bagi kategori Best International Feature Film di Anugerah Akademi ke-98. Jika hanya 15 saat sudah cukup untuk membuatkan ramai terdiam dan sebak, versi penuh filem ini dijangka meninggalkan kesan yang jauh lebih mendalam. Ia bukan sekadar sebuah naskhah sinema, tetapi peringatan keras tentang kemanusiaan, kehilangan dan suara kecil yang tidak sepatutnya dipadamkan begitu sahaja.



Comments


bottom of page