Tiket Sehala Dilancar, Angkat Isu Sindiket Kerja Luar Negara
- Tasnim Ahmad
- 4 days ago
- 2 min read
Dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan, majlis berbuka puasa anjuran Key Billions Sdn. Bhd. bertukar jadi malam yang cukup bermakna apabila filem Tiket Sehala rasmi diperkenalkan kepada umum. Bukan sekadar pelancaran biasa, Tiket Sehala terus mencuri perhatian kerana mengangkat isu sindiket penipuan kerja di luar negara, topik yang semakin membimbangkan rakyat Malaysia.

Filem arahan Rahila Ali ini diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku di peringkat global, termasuk membabitkan rakyat negara kita sendiri. Menurut pengarahnya, naskhah ini lahir daripada rasa tanggungjawab untuk memberi kesedaran tentang risiko dan kesan menjadi mangsa sindiket.
Cerita ini membawa penonton mengikuti perjalanan gelap Alif, Putri dan Taqy yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia di Korea Selatan. Dari impian mencari rezeki di luar negara, akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri. Jalan ceritanya bukan sekadar dramatik, tapi dekat dengan realiti semasa.
Barisan pelakon pun bukan calang-calang. Antaranya Noki K-Clique, Sharifah Sakinah, Zaki Yamani dan Ardell Aryana. Turut memeriahkan filem ini ialah pelakon dari empat negara termasuk Hyunjun Sun dari Korea Selatan dan Naufal Samudra dari Indonesia. Nampak tak skala produksi dia memang besar?
Menariknya lagi, penggambaran turut dijalankan di Korea Selatan dengan gabungan kru Malaysia dan negara tersebut. Kolaborasi sebegini sedikit sebanyak membuka ruang pembelajaran dan pengalaman baharu buat tenaga produksi tempatan. Kalau jadi, ini satu lagi langkah untuk tingkatkan kualiti filem Malaysia ke tahap lebih tinggi.
Malam pelancaran juga dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Shadow Combat League, sebuah konsep hiburan sukan baharu yang menggabungkan elemen sukan tempur dan teknologi. Lain macam vibe dia, bukan sekadar acara biasa-biasa.
Dalam masa sama, Key Billions turut mengumumkan penubuhan Key Billions Distribution yang bakal menguruskan hal pengedaran dan promosi filem terbitan mereka sendiri serta karya lain. Nampaknya syarikat ini bukan main-main dalam perancangan jangka panjang industri perfileman tempatan.
Secara keseluruhan, Tiket Sehala bukan hanya filem hiburan. Ia datang dengan mesej sosial yang kuat, relevan dengan isu semasa dan dekat dengan realiti masyarakat. Dalam keadaan ramai masih mudah terpedaya dengan tawaran kerja luar negara yang terlalu indah untuk dipercayai, filem ini mungkin jadi ‘wake up call’ yang kita perlukan.

Sebagai penonton Malaysia, mungkin sudah tiba masa kita sokong karya yang bukan saja menghiburkan, tapi juga membuka mata.









Comments