top of page

Tiket Afgan Retrospektif Showcase Laku Keras, Afgan Janji Bawa Lagu Hits dan Persembahan Penuh Emosi di Zepp KL

  • Writer: N
    N
  • 12 minutes ago
  • 2 min read

Penyanyi tersohor Indonesia, Afgan sekali lagi membuktikan pengaruh luar biasanya apabila jualan tiket Afgan Retrospektif Showcase menerima sambutan hangat daripada peminat di Malaysia.

ree

Menurut wakil penganjur Renjana Idea, Azlina, sambutan luar biasa itu mencerminkan betapa kuatnya sokongan peminat terhadap figura popular tersebut.

“Sambutan yang kami terima sangat positif dan pantas. Ia menunjukkan betapa besarnya pengaruh Afgan serta keterujaan peminat untuk menyaksikan persembahan istimewa ini. Kami amat berterima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus,” ujar Azlina.

Showcase yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2025 di Zepp Kuala Lumpur ini diadakan sempena pelancaran album terbaru Afgan berjudul Retrospektif.

Afgan menjelaskan bahawa judul album tersebut membawa makna mendalam tentang perjalanan hidup dan kerjayanya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

ree
“Makna Retrospektif bagi saya adalah momen untuk melihat kembali apa yang sudah terjadi di masa lalu, menjadikannya pelajaran untuk terus berkembang sebagai manusia yang lebih baik,” jelasnya.


Menariknya, album Retrospektif menjadi album penuh berbahasa Indonesia pertama Afgan selepas tujuh tahun. Ia menandakan titik balik penting dalam karier muziknya.

“Album ini ibarat saya kembali ke genre yang membesarkan nama saya, iaitu Indonesian Pop. Sudah lama saya tidak menghasilkan karya seperti ini, jadi Retrospektif terasa sangat tepat sebagai judul,” katanya lagi.
ree

Mengulas tentang pemilihan Malaysia sebagai lokasi persembahan, Afgan mengakui Kuala Lumpur mempunyai tempat istimewa di hatinya.

“Selain di Indonesia, Malaysia memang sangat istimewa buat saya. Sokongan peminat di sini luar biasa, dan saya mahu mereka turut merasai perjalanan baharu saya melalui album ini,” ujarnya.

Afgan turut menjelaskan bahawa Zepp Kuala Lumpur dipilih kerana sesuai dengan konsep persembahan yang lebih intim dan jujur.

“Muzik dalam album ini lebih organik dan raw, jadi saya rasa Zepp adalah tempat yang sangat tepat untuk menghadirkan pengalaman muzik itu secara dekat dengan peminat.”
ree

Selain lagu-lagu baharu dari album Retrospektif, Afgan juga akan mendendangkan rangkaian lagu popularnya seperti Ku Dengannya Kau Dengan Dia, Terima Kasih Cinta, Bukan Cinta Biasa, Jodoh Pasti Bertemu, Dia Dia Dia, Knock Me Out, dan Wajahmu Mengalihkan Duniaku.

Wakil Renjana Idea menjelaskan bahawa showcase kali ini bakal menjadi malam yang penuh nostalgia dan emosi.

“Kami mahu showcase ini menjadi malam penuh makna dan memori buat semua peminat yang membesar dengan lagu-lagu Afgan,” tambah Azlina.


Afgan turut menzahirkan rasa teruja untuk berkongsi karya terbarunya secara langsung buat pertama kali di Malaysia.

“Insya-Allah saya akan memberikan persembahan terbaik. Saya mahu setiap lagu ini memberi makna tersendiri kepada peminat di Malaysia,” katanya penuh semangat.

Beliau turut menambah bahawa lagu-lagunya selama ini menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup para peminat.

“Apa yang paling berharga adalah ketika lagu-lagu saya mampu memberi kekuatan untuk peminat menghadapi kehidupan dengan penuh optimis dan positif. Itu penghargaan terbesar buat saya.”
ree

Tiket Afgan Retrospektif Showcase dijual menerusi GoLive Asia dengan harga:

  • VIP Box: RM1,398

  • Premium Seat: RM798

  • Normal Seat: RM698

  • VIP Standing: RM398

  • General Standing: RM358


Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti perkembangan terkini di laman sosial rasmi Renjana Idea.


Dengan sambutan luar biasa terhadap jualan tiket, Afgan Retrospektif Showcase di Zepp Kuala Lumpur dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti penghujung tahun ini. Gabungan lagu-lagu nostalgia dan karya baharu menjanjikan sebuah malam yang penuh emosi, kenangan dan keindahan muzik Afgan yang tiada tandingannya.

Comments


bottom of page