The Furious: Pertaruhan Maruah Tampil Aksi Tinju Penuh Emosi
- Tasnim Ahmad
- 6 minutes ago
- 2 min read
Filem aksi tempatan nampaknya makin berani tampil dengan jalan cerita yang lebih berat dan emosi. Kali ini, The Furious: Pertaruhan Maruah hadir bukan sekadar nak tunjuk aksi tumbuk-menumbuk dalam gelanggang, tapi juga konflik keluarga yang boleh buat penonton rasa ‘pedih’ sekali.

Menariknya, filem ini menjadi debut arahan buat Heng Aik Siong yang sebelum ini dikenali sebagai pembantu pengarah kepada Adrian Teh. Kalau korang familiar dengan karya aksi tempatan yang intens, nama Adrian Teh memang tak asing lagi dalam industri.
Dalam The Furious: Pertaruhan Maruah, penonton dibawa mengikuti kisah dua beradik yang kembali bersatu selepas maruah keluarga mereka tercalar. Semuanya bermula apabila nama arwah bapa mereka dihina secara terbuka, sekaligus membuka semula luka lama dan dendam yang belum selesai.
Apa yang buat filem ini nampak menarik bukan hanya babak tinju yang nampak realistik, tetapi emosi antara ahli keluarga yang terasa dekat dengan kehidupan sebenar. Ada elemen pengorbanan, hubungan adik-beradik dan perjuangan mempertahankan maruah keluarga yang jadi tunjang utama cerita.
Barisan pelakonnya pun bukan calang-calang. Zul Ariffin memegang watak Firdaus sebagai teraju utama bersama Sky Iskandar, Ikmal Amry, Sandra Lim, Zamarul Hisham dan Marisa Yasmin. Gabungan pelakon ini sendiri dah cukup buat ramai peminat filem tempatan mula beri perhatian.
Malam gala filem ini yang berlangsung di GSC Mid Valley Megamall pada 19 Mei lalu turut meriah dengan kehadiran penggiat industri dan rakan media. Dari reaksi awal yang diterima, ramai yang memuji keseimbangan antara aksi dan drama yang dibawakan dalam filem ini.
Dalam lambakan filem aksi moden sekarang, The Furious: Pertaruhan Maruah cuba tampil dengan identiti tersendiri bukan sekadar lawan fizikal, tetapi juga pertarungan emosi yang melibatkan keluarga dan harga diri.
Filem ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026. Kalau korang memang layan filem aksi yang ada emosi dan jalan cerita berat, ini mungkin antara filem tempatan yang patut masuk dalam watchlist bulan ini.







Comments