“The Conjuring: Last Rites” Kembali Menghidupkan Legasi Seram Pasangan Warren
- Ain Najihah
- 5 days ago
- 1 min read

Warner Bros. telah mengeluarkan treler rasmi pertama bagi The Conjuring: Last Rites pada hari Khamis, yang merupakan filem keempat dan terakhir dalam siri The Conjuring. Namun, ini tidak bermakna ia adalah penamat bagi keseluruhan sekuel filem tersebut.
Filem kali ini juga diilhamkan daripada fail kes sebenar pasangan penyiasat paranormal terkenal, Ed (Patrick Wilson) dan Lorraine Warren (Vera Farmiga). Kali ini, ia mengisahkan tentang kes Smurl pada tahun 1986, di mana sebuah keluarga diganggu oleh entiti syaitan selama lebih sedekad.
“Setiap kes adalah berbeza. Setiap keluarga juga berbeza. Sebaik sahaja kita bermula, tiada jalan untuk berpatah balik. Apa sahaja boleh berlaku. Dan besar kemungkinan, memang akan berlaku,” kata Ed dalam treler rasmi tersebut.
Filem ini diarahkan oleh Michael Chaves, yang turut mengarah filem The Conjuring: The Devil Made Me Do It pada tahun 2021. Beliau juga pernah mengarah filem lain dalam sekuel ini seperti The Curse of La Llorona dan The Nun II.

James Wan, pengarah dua filem pertama The Conjuring, akan bertindak selaku penerbit eksekutif. Skrip ditulis oleh Ian Goldberg, Richard Naing dan David Leslie Johnson-McGoldrick. Ben Hardy dan Mia Tomlinson turut menyertai barisan pelakon.
Filem seram ini terus mencatat kejayaan besar di pawagam, dengan kutipan lebih daripada $2 bilion di seluruh dunia. Filem pertama yang ditayangkan pada tahun 2013 berjaya meraih hampir $320 juta daripada bajet yang hanya $20 juta.
The Conjuring: Last Rites akan ditayangkan di pawagam Imax pada 5 September.
Comments