TERBANG Bawa Dunia Rali Malaysia Ke Layar Perak Dengan Aksi Penuh Adrenalin

Kalau selama ini dunia perlumbaan rali bukan sesuatu yang selalu kita nampak dalam filem tempatan, TERBANG cuba mengubah perkara itu dengan membawa kisah pasukan rali Malaysia ke layar perak. Filem aksi ini bukan sekadar tentang kereta yang dipandu laju, tetapi turut menyentuh soal semangat, keberanian dan usaha anak Malaysia mengejar satu impian.

Diterbitkan oleh Astro Shaw, TERBANG bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 17 September 2026. Ceritanya diinspirasikan daripada perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai legenda sukan permotoran negara, Karamjit Singh, dalam usaha membuktikan bahawa sesuatu yang besar boleh dicapai apabila ramai pihak bergerak bersama.
Menariknya, TERBANG tidak mahu bergantung kepada elemen sukan semata-mata. Filem arahan Chiu Keng Guan ini cuba mengimbangkan aksi berintensiti tinggi dengan sisi emosi supaya penonton bukan sahaja rasa berdebar ketika perlumbaan berlangsung, tetapi turut memahami perjalanan manusia di sebalik setiap cabaran.

Dari segi teknikal pula, dunia rali memberikan cabaran tersendiri kepada pasukan produksi. Aksi kereta pada kelajuan tinggi memerlukan pendekatan penggambaran yang berbeza supaya pergerakan, bunyi dan suasana perlumbaan dapat dirasakan dengan lebih dekat. Reka bentuk bunyi, koreografi aksi, props dan visual turut diberi perhatian bagi menghasilkan suasana yang lebih realistik.
Penggambaran TERBANG juga berlangsung di beberapa lokasi termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Perlis dan New Zealand. Gabungan lokasi tempatan dan antarabangsa ini memberikan skala visual yang lebih besar, selain menjadikan kisah yang berakar daripada pengalaman Malaysia terasa lebih luas.
Untuk skrip pula, penulisan diketuai Hazwani Mahayuddin bersama pasukan penulis Astro Shaw. Naratifnya dibangunkan secara berperingkat bagi mengelakkan filem ini menjadi terlalu sarat dengan mesej motivasi. Sebaliknya, perjalanan watak dan dunia perlumbaan dirangka supaya boleh dinikmati oleh penonton daripada pelbagai generasi dan latar belakang.
Barisan pelakonnya turut memperlihatkan kepelbagaian wajah industri tempatan, antaranya Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Luqman Hafidz, Qasrina Karim, Razib Salimin, Ruminah Sidek, Peggie Ng, Ng Meng Tuck dan Dato’ Ahmad Tamimi Siregar.

Menurut Penerbit Eksekutif TERBANG merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, filem ini dibangunkan sebagai sebuah kisah yang boleh dekat dengan penonton walaupun berlatarbelakangkan sukan rali. Fokusnya adalah untuk menggabungkan aksi, emosi dan penceritaan tanpa menjadikan mesej filem terlalu berat.
Bagi melengkapkan pengalaman filem, TERBANG turut hadir dengan lagu tema berjudul “Menyala”, yang dinyanyikan oleh Amir Masdi. Lagu ini menjadi antara elemen yang mengiringi perjalanan filem dalam membawakan semangat dan tenaga yang selari dengan kisahnya.

Dengan dunia rali yang masih agak jarang diterokai oleh filem tempatan, TERBANG nampaknya hadir dengan pendekatan yang sedikit berbeza. Sama ada anda memang peminat sukan permotoran atau sekadar mahu melihat sejauh mana filem Malaysia mampu menghasilkan aksi berskala besar, filem ini boleh jadi antara tontonan yang menarik untuk diberi perhatian apabila ia mula berada di pawagam pada 17 September.



Comments