top of page

TEKKA Debut Di KL, Festival Audiovisual Paling Fresh Bakal Gegarkan klpac Disember Ini

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 21 hours ago
  • 2 min read
ree

Kuala Lumpur kini berada dalam mod frekuensi baharu. Dari 19 hingga 21 Disember 2025, TEKKA bakal membuat debut rasmi sebagai festival audiovisual pertama yang tampil berani dengan gabungan bunyi dan visual digital di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre, klpac.


Sebagai platform pertemuan kreatif rentas disiplin, TEKKA menghimpunkan pemuzik, komposer, artis bunyi dan teknologi dari seluruh Asia dan antarabangsa untuk meneroka sempadan baharu dalam dunia ekspresi audiovisual. Pendek kata, ini bukan festival biasa. Ini ruang eksperimen yang hidup dan sentiasa berkembang.


Menurut pengasas bersama dan pengarah kreatif TEKKA, Wee Jia Foong, TEKKA tercetus daripada keinginan untuk mengumpul komuniti yang suka mendengar, mencuba dan mengambil risiko dalam dunia seni digital. Katanya, TEKKA direka sebagai ruang yang fleksibel dan responsif terhadap persekitaran serta perbualan kreatif yang berlaku di dalamnya.


ree

Sepanjang tiga hari penganjuran, TEKKA bakal menampilkan persembahan A/V secara langsung, bengkel interaktif dan satu sesi TEKKA / DIALOG. Antara nama tempatan yang bakal membuat persembahan termasuk euseng seto, Cerikapak, Anis Haron, rEmPiT g0dDe$$, Vasflow, Angqasa serta kolaborasi Mulan Theory x cr.telur. Wakil antarabangsa pula menampilkan Chang Hsin Yu, Huang Wei dan WhereIsChappie dari Taiwan, LnHD dari Myanmar serta Toru Izumida dari Jepun.


Untuk mereka yang berminat mendalami dunia visual masa nyata dan sistem A/V, bengkel TouchDesigner bersama Ben Voigt dibuka untuk peringkat permulaan dan pertengahan. Peserta juga berpeluang meneroka teknologi lanjutan seperti POPs operator family bersama Ben Voigt dan Yea.


TEKKA turut mengetengahkan sesi TEKKA / DIALOG yang menghimpunkan artis tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi perjalanan seni, inspirasi dan hala tuju perkembangan audiovisual di Malaysia serta rantau ini.


ree

Penerbit TEKKA, Maggie Ong menyatakan festival ini menjadi peluang untuk memperlihatkan wajah baharu klpac yang kini menyambut ulang tahun ke-20, sambil memberi ruang kepada penonton untuk mengalami seni dengan cara yang lebih segar dan imersif.


Untuk edisi sulung ini, TEKKA mempertaruhkan tiga persembahan utama, dua bengkel dan satu sesi dialog. Penganjuran festival ini dibawakan oleh RHIZO dengan kerjasama klpac serta sokongan pelbagai pihak termasuk ArtsFAS, Yayasan Hasanah, The Japan Foundation Kuala Lumpur dan rakan sokongan lain.


Tiket early bird bermula serendah RM59 dan pas tiga hari turut disediakan untuk peminat tegar dunia A/V. Info lanjut mengenai program dan pembelian tiket boleh didapati di cloudjoi.com/klpac serta akaun Instagram rasmi @tekka.my.


Kalau anda jenis suka bunyi pelik, visual mind blowing dan pengalaman seni luar kotak, TEKKA memang wajib masuk dalam senarai hujung tahun anda. Ini bukan sekadar festival, ini pengalaman.

Comments


bottom of page