top of page

Teach You a Lesson Jadi Drama Korea No.1 Netflix Global

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 16 hours ago
  • 2 min read

Drama Korea Teach You a Lesson nampaknya berjaya mencuri perhatian penonton seluruh dunia apabila terus menduduki tangga pertama carta rancangan TV bukan bahasa Inggeris Netflix sejurus selepas tayangannya.



Siri yang baru dilancarkan minggu lalu itu merekodkan sebanyak 6.4 juta tontonan dalam tempoh seminggu, sekali gus menjadikannya antara naskhah Korea paling hangat diperkatakan ketika ini. Lebih menarik, Teach You a Lesson turut berada dalam kelompok 10 teratas di 48 negara dan wilayah termasuk Korea Selatan, Singapura, Turki dan Mesir.


Bagi peminat drama Korea yang gemarkan gabungan aksi, konflik sosial dan jalan cerita yang serius, siri ini mungkin boleh masuk dalam senarai tontonan hujung minggu anda.


Diadaptasi daripada webtoon popular Get Schooled, drama ini mengisahkan sekumpulan pemeriksa dari sebuah agensi fiksyen dikenali sebagai Biro Perlindungan Hak Pendidikan. Mereka diberikan kuasa khas untuk menangani kes buli dan masalah disiplin yang semakin sukar dikawal di sekolah.


Watak Menteri Pendidikan, Choi Gang-seok yang dilakonkan oleh Lee Sung-min, menjadi tulang belakang kepada operasi tersebut. Dengan pegangan bahawa biro itu diwujudkan “bukan untuk melawan pelajar, tetapi melawan raksasa”, pasukan pemeriksa yang diterajui oleh Kim Mu-yeol, Jin Ki-joo dan Pyo Ji-hoon berusaha memberi pengajaran kepada pelajar yang menjadi pembuli.



Tema yang menyentuh isu buli sekolah serta pendekatan lebih tegas terhadap disiplin dipercayai menjadi antara faktor yang menarik minat penonton global untuk mengikuti siri ini.


Dalam masa sama, dominasi kandungan Korea di Netflix terus kukuh apabila beberapa lagi siri Korea turut berjaya menembusi carta mingguan global.


Drama My Royal Nemesis berada di kedudukan kedua, diikuti The Wonderfools di tangga keempat dan Sold Out on You di kedudukan kesembilan. Rancangan variasi Jae-seok's B&B Rules! pula melengkapkan senarai top 10 di tangga ke-10.


Bukan itu sahaja, filem animasi KPop Demon Hunters turut mencatat pencapaian tersendiri apabila kekal dalam carta Top 10 kategori filem bahasa Inggeris Netflix untuk minggu ke-51 berturut-turut.


Apa yang jelas, gelombang Hallyu masih belum menunjukkan tanda-tanda perlahan. Dengan semakin banyak drama dan rancangan Korea mendapat perhatian antarabangsa, peminat di Malaysia juga pastinya tidak ketandusan pilihan untuk ditonton sepanjang tahun ini.

Comments


bottom of page