Stacy Is Back! “Mega Ching!” Bawa Energi Baharu Muzik Elektro ‘Dance’
- N

- 7 minutes ago
- 2 min read
Selepas sekian lama dinanti, ratu tari negara, Stacy, akhirnya kembali menggegar industri muzik tanah air dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Mega Ching!”.

Lagu ini bukan sekadar tanda kemunculan semula Stacy, malah menjadi simbol kepulangan identiti muzik ‘dance’ yang cukup sinonim dengan namanya sejak awal karier.
Diterbitkan oleh Nova Music Malaysia, “Mega Ching!” tampil dengan sentuhan muzik elektro dance berinspirasikan EDM dan K-pop, sekali gus memberi nafas segar kepada peminat setia penyanyi kelahiran Sabah itu.
Menariknya, lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Stacy sendiri yang menggunakan nama pena Bunga Cantik. Menurut Stacy, “Mega Ching!” adalah karya yang sangat peribadi, melambangkan ekspresi diri, keyakinan dan kekuatan mental sebagai penghibur.
“Inspirasi utama lagu ini hadir ketika berada di atas pentas. Ia cara saya melunturkan rasa gementar dan mendisiplinkan diri ketika menyanyi sambil menari. ‘Mega ching’ itu sendiri membawa maksud seperti ‘Alamak! terlebih sudah’, karakter yang peminat lama pasti ingat,” katanya.
Stacy turut menjelaskan bahawa perkataan ‘ching’ dalam lagu ini membawa makna simbolik untuk ‘move on’ dengan lebih mudah dalam apa jua situasi.
“Lagu ini juga peringatan kepada diri sendiri supaya emosi tidak terperangkap terlalu lama, lebih-lebih lagi dalam dunia seni yang perlukan mental yang sangat kuat,” tambahnya.

“Mega Ching!” bukanlah sebuah lagu yang dihasilkan secara tergesa-gesa. Sebaliknya, Stacy mendedahkan lagu ini melalui proses pembikinan yang panjang dan teliti selama hampir lima bulan.
“Kami hampir dua hingga tiga kali menukar melodi sepanjang proses rakaman. Lagu ini sepatutnya dipersembahkan di Konsert ‘Aku Stacy’ di Kota Kinabalu Jun lalu, tetapi saya pilih untuk tunggu versi terbaik,” jelasnya.
Apa yang lebih mencuri perhatian, lagu ini turut menampilkan eksperimen baharu dalam perjalanan muzik Stacy, termasuk:
Gaya EDM berinspirasikan K-pop
Elemen rap buat pertama kali
Rap dalam dialek Sabah yang unik
“Saya gabungkan ‘arrangement’ muzik moden dengan melodi dan karakter saya. Paling unik, kali pertama saya masukkan elemen rap dialek Sabah,” katanya.
Menurut Stacy, “Mega Ching!” membawa mood yang lebih ‘fun’, energetik dan menjadi ‘confidence booster’ kepada pendengar.
Lirik lagu ini turut menyelitkan tema:
Persaingan sihat
Sindiran manja
Semangat tidak mudah berputus asa
“Mesej utama lagu ini adalah ‘Bring it on!’. Teruskan usaha tanpa putus asa dan yakin dengan kelebihan diri. Tapi walaupun nak ‘mega ching’, tetap kena berpada-pada,” katanya.

Maklum balas awal yang diterima Stacy ternyata memberangsangkan.
“Alhamdulillah, semua beri reaksi positif dan kata ‘Stacy is back!’. Mungkin sebab sudah lama mereka tidak dengar genre yang biasa saya bawa dulu. Semoga ia mengubat rindu peminat setia saya,” katanya.
Stacy berharap lagu ini bukan sahaja memberi hiburan, malah mampu memberi aura positif dan semangat untuk keluar dari zon selesa.
Lebih mengujakan, Stacy turut mengesahkan bahawa “Mega Ching!” adalah sebahagian daripada projek album baharu yang kini sedang dalam proses rakaman.
“Perjalanan muzik saya sememangnya menuju ke album baharu. ‘Mega Ching!’ adalah antara lagu yang akan dimuatkan,” ujarnya.









Comments