Siti Saleha Buat Debut Sebagai Pengarah, “Rentak Dua Hati”
- Nurul Safiah
- 1 day ago
- 2 min read

TV3 membuka tirai projek istimewa “Dari Layar Ke Lensa” sempena ulang tahun ke-41 dengan telefilem sulung arahan pelakon terkenal Siti Saleha berjudul Rentak Dua Hati yang bakal ditayangkan di slot Cerekarama pada Sabtu ini, 5 Julai, jam 10 malam.
Mengangkat tema cinta rentas bangsa dan konflik identiti, Rentak Dua Hati mengisahkan Adila, seorang peguam muda yang menjalani kehidupan sebagai DJ malam secara rahsia.
Pertemuan dengan Fabian mengubah perjalanan hidupnya, namun hubungan mereka diuji apabila rahsia Adila terbongkar dan menimbulkan konflik keluarga serta tekanan sosial.
Telefilem ini bukan sekadar kisah cinta biasa, sebaliknya menyentuh isu identiti, prinsip hidup dan keberanian menjadi diri sendiri, disampaikan melalui lensa pengarah baharu yang kini beralih kerusi dari pelakon ke pengarah.

“Watak Adila ini ramai wanita boleh kaitkan, yang bergelut dengan tekanan hidup dan dilema dalam membuat pilihan. Saya harap penonton dapat rasa mesej itu,” kata Siti Saleha yang turut menulis skrip.
Auni Yusri, yang diberi kepercayaan membawa watak utama, turut meluahkan rasa bertuah diberi peluang besar di awal kariernya.
“Saya tak sangka akan diberi tanggungjawab besar sebagai Adila. Tapi Kak Saleha banyak bimbing sepanjang penggambaran,” katanya.
Rentak Dua Hati menjadi naskhah pertama dalam siri Dari Layar Ke Lensa yang menyaksikan empat pelakon popular iaitu Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim yang mengambil peranan sebagai pengarah dalam usaha TV3 memperkasakan penggiat seni tempatan.
Tiga lagi telefilem menarik iaitu:
- Noktah Dosa (12 Julai) arahan Fattah Amin
- Susu Lima Kupang (19 Julai) arahan Janna Nick
- Pencuri Rumah Imam (26 Julai) arahan Zahiril Adzim
Saksikan Rentak Dua Hati dan karya-karya lain dari Dari Layar Ke Lensa setiap Sabtu, jam 10 malam hanya di Cerekarama TV3!

Commentaires