SICC Bakal Bergetar! Stacy Umum Konsert Solo Mega “Aku Stacy Menggegar Kota U” 21 Jun Ini
- Nurul Safiah
- Apr 17
- 2 min read

Penyanyi berbakat besar kelahiran Sabah, Stacy, akhirnya mengumumkan konsert solo mega yang dinanti-nantikan yang bakal berlangsung pada 21 Jun 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC).
Dalam sidang media eksklusif yang berlangsung penuh gemilang di SICC, Stacy muncul mengejutkan para tetamu dengan persembahan akustik eksklusif membawakan tiga lagu popularnya iaitu “Pelangi Senja”, “Not For Sale”, dan “Jahat”.
Menurut Stacy, konsert “Aku Stacy Menggegar Kota U” ini bukan sekadar sebuah persembahan biasa, tetapi merupakan lambang dedikasi dan cinta beliau terhadap seni serta sokongan padu dari peminat Sabah.
“Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu pengalaman yang penuh warna dan tenaga, khas untuk orang Sabah. Saya akan bawa penari dari Semenanjung dan gabungkan dengan penari tempatan. Nantikan gimik dan kejutannya kerana saya tak sabar nak gegarkan SICC!” ujar Stacy penuh semangat.

Antara detik yang paling dinantikan ialah segmen duet bersama suami tersayang, Akim Ahmad, yang menjanjikan momen romantik dan penuh emosi. Akim turut hadir di sidang media dan berkongsi rasa syukur dengan cuaca baik yang mengiringi majlis.
Apa yang menjadikan konsert ini lebih istimewa, Stacy mendedahkan beliau terlibat sepenuhnya dalam konsep, susunan muzik, koreografi dan pemilihan pasukan produksi menjadikan konsert ini paling autentik dalam perjalanan seninya.
Konsert ini bakal membawa peminat mengimbau perjalanan karier Stacy sejak kemenangan Akademi Fantasia 6 menerusi lagu “Aku Stacy”, hingga ke era “Menyala”.
Persembahan dijanjikan penuh dinamik dengan susunan muzik baharu, visual pentas bertaraf antarabangsa dan tenaga yang luar biasa.
“Setiap lagu ada ceritanya. Saya nak semua penonton pulang dengan rasa puas, terhibur dan terinspirasi,” tambah Stacy.
Untuk maklumat lanjut dan kemas kini eksklusif, peminat boleh mengikuti akaun rasmi media sosial Stacy dan U Mobile. Saksikan detik-detik di belakang tabir dan persiapan Stacy menuju malam penuh sejarah di SICC nanti.

Comments