Shila Amzah Lancar Album Terbaharu ‘SA25’: 25 Tahun Perjalanan Seni Dalam Satu Naratif Emosi
- N

- 1 day ago
- 2 min read
Penyanyi tersohor Malaysia, Shila Amzah, kembali menyentuh hati para peminat dengan pelancaran album penuh terbaharunya berjudul ‘SA25’ sebuah karya yang diraikan sebagai simbol 25 tahun perjalanan seni sejak kemunculan pertamanya pada tahun 2000.

Lebih daripada sekadar album, SA25 adalah naratif hidup Shila dalam bentuk muzik, dibungkus dengan emosi, pengalaman, luka, penyembuhan dan kekuatan.
Menurut Shila, judul SA25 dipilih kerana makna peribadi yang mendalam.
“SA itu mewakili nama saya, Shila Amzah, manakala 25 merujuk kepada ulang tahun saya bergelar anak seni. Ini adalah fasa terbaik dalam hidup dan kerjaya saya,” jelas Shila.
Album ini menampilkan 10 lagu baharu, 1 lagu remake, serta 4 bonus track, menjadikan keseluruhannya satu pengalaman mendalam yang menyusuri fasa-fasa penting hidup Shila dari perjuangan kerjaya, ujian rumah tangga, hingga kebahagiaan baharu sebagai isteri dan ibu.

Shila tampil dengan sisi lebih matang sebagai penyanyi, komposer dan penulis lirik. Beberapa lagu ditulis bertahun-tahun lalu seperti “Tinggal Kenangan” (2017), manakala karya baharu menggambarkan situasi hidup yang pernah dilaluinya.
“Album ini bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi jurnal hidup saya.” Shila juga mengekalkan DNA muziknya walaupun bekerjasama dengan komposer berlainan seperti Izzy Musa, Raja Nazrin Shah dan suaminya, Ubai.

Antara seluruh karya baharu, “Sirna Hati” adalah lagu paling berat untuk disiapkan.
“Lagu ini berdasarkan kisah sebenar mengenai penderaan emosi dan fizikal yang pernah saya alami. Menulisnya seperti menghidupkan semula memori yang sukar.”
Shila berkongsi bahawa Ubai banyak membantu dalam proses kreatif, menggalakkannya “menutup buku lama” melalui penulisan lagu.

Shila turut mengakui beberapa lagu membawa nilai sentimental tersendiri, antaranya:
“Kamu”
“Untukmu” (ditulis khas buat suami)
“Pernah Punya Aku” – yang kini menjadi fenomena
“Pernah Punya Aku”, single pertama SA25, bukan saja mendapat sambutan hangat, malah kini berada di naib juara carta ERA 40 minggu ini, selepas menjuarai Muzik Muzik 40 selama tiga minggu berturut-turut.
Empat bonus track dipilih berdasarkan momen-momen penting dalam hidup Shila:
“Penyejuk Hati” – untuk anaknya, Seth Uwais
“Jauh Hati” – titik tolak kekuatan baharu
“Tiada Dirimu” – dirakam ketika hamil, membuka peluang kerjasama bersama Seventeen Eleven Music dan Nova Music
“Khilaf Asmara” – ditulis Amylea Azizan saat Shila berpantang anak pertama

Selain itu, Shila turut merakam semula lagu yang melonjakkan namanya, “Memori Tercipta”, namun dengan perspektif baharu.
“Versi baharu bukan untuk menggantikan yang lama, tetapi meraikan perjalanan hidup saya hari ini.”
Jika diminta merangkumkan SA25 dalam satu kata, Shila memilih: kekuatan.
“Setiap lagu membawa mesej bangkit daripada trauma, kecurangan, kesedihan dan kehilangan.” Beliau turut mengakui bahawa inspirasi album ini datang daripada ibu, suami, sahabat serta dirinya sendiri.

Shila memaklumkan bahawa jelajah SA25 sedang dirancang dan akan diumumkan tidak lama lagi. Namun yang pasti, antara persembahan terdekatnya ialah konsert pada 9 Mei 2026 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Album SA25 diterbitkan oleh Nova Music Malaysia dan Leo Music & Entertainment, syarikat rakaman milik Shila sendiri.
Versi fizikal akan dijual di platform e-dagang dalam masa terdekat.
Versi digital pula mula tersedia pada 25 November 2025.
Video muzik rasmi “Tinggal Kenangan” (single ke-2) akan ditayangkan pada hari yang sama jam 8 malam di saluran YouTube Nova Music Video.
Shila menutup bicara dengan harapan:
“Semoga album ini memberi kekuatan kepada pendengar dan meninggalkan impak positif di dalam dan luar negara.”









Comments