Sheng Wang Bakal Gegarkan Kuala Lumpur Dengan Komedi Penuh Santai
- Atiqah Halim

- 1 day ago
- 2 min read

Kuala Lumpur bakal menjadi pentas kepada satu malam komedi yang berbeza apabila Sheng Wang, komedian terkenal dengan gaya tenang dan pemerhatian tajam, dijadualkan membuat persembahan istimewa pada 9 Januari 2026 di HXC Grand Ballroom, United Point Mall. Persembahan ini merupakan sebahagian daripada Asia Tour 2026 dan menandakan penampilan sulung beliau di Malaysia.
Dibawakan oleh BOHM Presents dengan kerjasama LOL Asia, antara penganjur hiburan langsung terkemuka di Malaysia, persembahan satu malam ini menjanjikan pengalaman komedi yang bersahaja namun mampu buat penonton ketawa. Sheng Wang dikenali dengan pendekatan minimalis yang menumpukan kepada humor pemerhatian, jauh daripada gaya komedi yang lantang atau sensasi, tetapi tetap meninggalkan impak yang kuat kepada penonton.
Dilahirkan di Taipei, Taiwan dan dibesarkan di Houston, Amerika Syarikat, Sheng Wang membina reputasi sebagai antara suara paling segar dalam dunia stand up komedi. Namanya mula menjadi perhatian global menerusi Netflix special Sweet & Juicy pada tahun 2022, yang diterbitkan dan diarahkan oleh Ali Wong. Persembahan tersebut menerima pujian meluas kerana penyampaian yang tenang, ringkas dan penuh ketelitian, sekali gus mengangkat Sheng Wang sebagai komedian yang berani tampil berbeza.

Keistimewaan Sheng Wang terletak pada kebolehannya menukar perkara biasa dalam kehidupan seharian menjadi bahan jenaka yang dekat dengan realiti penonton. Daripada situasi kecil yang sering kita alami sehinggalah pemerhatian ringkas tentang tingkah laku manusia, lawak yang disampaikan terasa jujur dan mudah difahami. Gaya penyampaiannya yang tidak tergesa-gesa sering membuatkan penonton ketawa sambil merenung kembali pengalaman sendiri.
Selain di atas pentas, Sheng Wang turut mempunyai pengalaman kukuh dalam penulisan komedi. Beliau pernah berkhidmat sebagai penulis skrip untuk sitkom popular Fresh Off the Boat dari tahun 2015 hingga 2018, sekali gus mengukuhkan kredibilitinya sebagai pencerita yang berdisiplin dan berpengalaman.
Menurut CEO LOL Asia, Rizal Kamal, kehadiran Sheng Wang ke Kuala Lumpur amat bertepatan dengan keperluan penonton masa kini. Dalam suasana dunia yang serba pantas dan penuh tekanan, komedi yang ditawarkan Sheng dilihat sebagai bentuk hiburan yang menenangkan, positif dan mampu merentas generasi.
Persembahan di Kuala Lumpur ini dijangka mendapat sambutan hangat, selari dengan kejayaan jelajah globalnya yang menerima maklum balas positif di Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia. Penonton boleh menjangkakan satu malam yang dipenuhi penceritaan ringkas, pemerhatian tajam dan ketepatan masa yang kemas, disampaikan dalam suasana santai namun bermakna.

Tiket untuk persembahan ini telah mula dijual dengan harga bermula RM138 dan boleh didapati menerusi laman rasmi LOL Asia.









Comments