top of page

Sarang Komika Fest 2025: Hiburan Percuma dan Gelak Tawa Menanti di Sabak Bernam!

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 2 days ago
  • 2 min read

Sabak Bernam bakal menjadi lokasi tumpuan apabila sebuah festival komedi berskala besar dan penuh warna-warni, Sarang Komika Fest diadakan secara percuma buat pertama kalinya pada Sabtu, 26 Julai 2025 bertempat di Grand Sabak Hotel & Mini Convention Centre, bermula jam 7.00 pagi hingga 11.30 malam.


Sarang Komika Fest bukan sahaja mempersembahkan pentas komedi, malah menghimpunkan aktiviti seni, niaga, sukan dan kekeluargaan dalam satu festival yang mesra komuniti.


Festival ini merupakan inisiatif pelawak tersohor tanah air, Joey Daud, bersama barisan pelawak tempatan dengan kerjasama rapat Iqbal Khalid, pemilik Grand Sabak Hotel. 



Acara ini turut mendapat sokongan kuat daripada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), sekaligus menjadikannya antara acara komuniti terbesar yang pernah diadakan di kawasan ini.


Kemuncak festival tentunya persembahan istimewa GiG Sarang Komika, yang akan menyaksikan gabungan pelawak hebat seperti Joey Daud, Shashic, Has Arteh, Dewa Arteh, Kak Joo, Hilmy Ashley, Amy Giant, Abe Late, Iskandar, Aiman Ketot dan ramai lagi.


Persembahan lawak jenaka secara langsung ini akan berlangsung pada waktu malam, menjanjikan gelak tawa tanpa henti buat para penonton.


Bukan itu sahaja, pelbagai zon aktiviti turut disediakan sepanjang hari seperti Pasar Karat Pak Maon, Pasar Marjina, Erobikthon, aktiviti seni TVET, jualan barangan keperluan rakyat dan perlawanan bola sepak tujuh sebelah antara artis, PDRM dan MDSB.


Kesemua aktiviti ini direka khas untuk menarik penyertaan semua lapisan masyarakat daripada golongan kanak-kanak sehingga ke warga emas.


Pengunjung juga berpeluang membawa pulang hadiah menarik menerusi cabutan bertuah, yang akan dijalankan sepanjang acara.


Apa yang perlu dilakukan hanyalah hadir, daftar, dan nikmati festival ini kerana peluang untuk menang hadiah lumayan sentiasa terbuka!


Sarang Komika Fest dianjurkan oleh Grand Sabak Hotel & Mini Convention Centre dan Ley-Park Station Sabak, dengan kerjasama strategik daripada Majlis Daerah Sabak Bernam, Penyelaras DUN Sabak, dan AMP Solution.


Dengan gabungan hiburan, seni, komuniti dan tawa, Sarang Komika Fest 2025 menjanjikan pengalaman unik yang sukar dilupakan. Masuk adalah percuma, jadi pastikan anda hadir bersama keluarga, jiran dan sahabat handai!



Comments


bottom of page