Samsons Live in Malaysia - "Kenangan Terindah" Bakal Gegar Kuala Lumpur November Ini
- N
- 4 hours ago
- 2 min read
Peminat muzik Indonesia di Malaysia bakal disajikan dengan sebuah persembahan istimewa apabila band legenda Samsons tampil dengan konsert mega bertajuk “Samsons Live in Malaysia - Kenangan Terindah” pada 9 November 2025 bertempat di IDEA Live Arena, Damansara 3, Petaling Jaya.

Pengumuman rasmi ini dibuat dalam sidang media yang berlangsung di Hard Rock Café Kuala Lumpur, dianjurkan oleh Orlaith Inc bersama rakan media. Konsert ini dijangka menjadi salah satu acara muzik paling dinanti tahun ini.
Selepas lebih dua dekad berkarya, Samsons tampil dengan konsep konsert yang berbeza daripada kebiasaan. Persembahan kali ini diinspirasikan oleh lima elemen alam iaitu angin, bumi, api, air dan logam, digabungkan dengan satu elemen istimewa, kasih sayang dan perpaduan.

Gabungan enam elemen ini akan diterjemahkan dalam bentuk muzik, visual dan emosi, menjanjikan pengalaman konsert yang imersif dan penuh makna. Ia turut melambangkan perjalanan Samsons daripada lima album terdahulu hingga ke bab baharu dalam kerjaya muzik mereka.
Lagu-lagu Samsons sering dianggap sebagai simbol emosi yang tidak terucap seolah-olah surat cinta yang tidak pernah dihantar atau kata-kata yang tidak sempat diucapkan. Bagi ramai peminat di Malaysia, ASEAN dan rantau lain, muzik Samsons menjadi latar kepada kisah cinta, pengorbanan dan kerinduan yang membekas dalam hidup.

Menurut Azam Ismait Bakri, Pengarah Urusan Orlaith Inc, konsert ini bukan sahaja meraikan lagu-lagu hits Samsons, tetapi juga membuka lembaran baharu.
“Muzik Samsons sejak dahulu lagi membawa emosi yang sukar diungkap dengan kata-kata. Konsert ini bukan sahaja dirancang untuk meraikan lagu-lagu hits mereka, malah sebagai permulaan kepada sesuatu yang baharu, sebuah gerakan kasih sayang dan perpaduan yang dikongsi bersama peminat,” jelasnya.
Sebagai tanda penghargaan, Samsons juga melancarkan satu inisiatif khas di Instagram untuk peminat Malaysia. Mereka berpeluang berkongsi kata-kata atau perasaan yang mungkin dijadikan inspirasi untuk sebuah lagu baharu bertemakan kasih sayang dan perpaduan.
Projek ini menjadikan karya tersebut bukan hanya ditulis oleh Samsons, tetapi juga oleh peminat yang selama ini menyokong perjalanan muzik mereka.

Dengan permintaan tiket yang dijangka tinggi, “Samsons Live in Malaysia - Kenangan Terindah” diyakini bakal mencipta sejarah sebagai salah satu konsert paling epik tahun 2025.
Bagi peminat yang membesar dengan lagu-lagu Samsons, inilah peluang untuk merasai sendiri pengalaman muzik penuh emosi dalam suasana yang memukau.
Comments