Sakura Band Realisasikan Impian Dengan Lagu Raya “Raya Di Kampung”
- N

- Mar 9
- 2 min read
Setiap kali menjelang Syawal, mesti ada lagu raya baharu yang cuba mencuri hati pendengar. Tahun ini, Sakura Band turut memeriahkan senarai lagu raya dengan single terbaru mereka, “Raya Di Kampung” sebuah lagu yang membawa vibe nostalgia balik kampung tetapi dengan sentuhan muzik moden.
Menariknya, lagu raya ini bukan sekadar projek biasa. Bagi Sakura Band, menghasilkan lagu raya pertama mereka sebenarnya sudah lama berada dalam ‘wishlist’ sejak awal penubuhan kumpulan tersebut.

Menurut anggota kumpulan yang juga mewakili Sakura Band, Mell atau Melley Matius, idea menghasilkan lagu ini datang daripada keinginan mereka untuk menggambarkan perasaan teruja pulang ke kampung halaman ketika Aidilfitri.
“Tema utama lagu ini memang tentang balik kampung. Kami nak orang rasa perasaan seronok, teruja nak jumpa keluarga dan sambut raya bersama-sama,” jelasnya.
Inspirasi lagu ini juga ada kaitan dengan salah satu lagu raya paling ikonik di Malaysia iaitu “Balik Kampung” nyanyian Sudirman. Namun, Sakura Band cuba memberi sentuhan yang lebih segar dengan susunan muzik yang lebih kontemporari.
Hasilnya, “Raya Di Kampung” membawa gabungan elemen nostalgia dan muzik pop rock moden sesuatu yang cukup dekat dengan identiti bunyi Sakura Band sendiri.
Dari segi proses kreatif pula, Mell berkongsi bahawa penghasilan lagu ini berjalan secara santai dan spontan. Mereka tidak terlalu fokus pada aspek teknikal yang terlalu kompleks, sebaliknya mahu memastikan lagu ini mudah didengar dan boleh dinikmati oleh semua.
Matlamatnya mudah bila dengar lagu ini, pendengar terus ‘masuk mood’ raya.
Susunan muzik lagu ini juga mengambil inspirasi daripada single Sakura Band sebelum ini iaitu “Polaroid”, sekali gus mengekalkan identiti muzik kumpulan tersebut. Namun bagi memberi suasana Aidilfitri yang lebih terasa, beberapa elemen tradisional Melayu turut dimasukkan dalam komposisi lagu ini.
Gabungan bunyi moden dan sentuhan tradisional ini menjadikan “Raya Di Kampung” sesuai dimainkan sama ada ketika perjalanan pulang ke desa, sesi memasak di dapur menjelang raya atau ketika rumah terbuka bersama keluarga dan rakan-rakan.
Menariknya, lagu ini juga didedikasikan kepada mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung halaman. Sakura Band berharap lagu ini tetap dapat memberi rasa kegembiraan dan kehangatan suasana raya walaupun jauh dari keluarga.

Dari sudut peribadi, Mell menyifatkan penerbitan lagu ini sebagai satu pencapaian penting dalam perjalanan seni Sakura Band. Bagi mereka, memiliki lagu raya sendiri adalah satu simbol perjalanan karier yang semakin matang dan juga peluang untuk memperkenalkan identiti muzik mereka kepada lebih ramai pendengar.
Single “Raya Di Kampung” merupakan ciptaan Nawfas dan Melley Matius, dengan lirik sepenuhnya ditulis oleh Melley sendiri. Lagu ini turut diterbitkan dengan kerjasama beberapa nama dalam industri termasuk Wan 6ixthsense, Koh Kpro, Bajai, Amat Octo dan Harry Bakhari, manakala proses adunan dan mastering disempurnakan oleh Koh Kpro.
Dengan gabungan elemen moden dan tradisional, tidak mustahil “Raya Di Kampung” boleh menjadi antara lagu yang menemani perjalanan balik kampung tahun ini. Single ini kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital utama.



Comments