Review Filem Khadam: Seram Yang Bukan Sekadar Hantu, Tapi Tentang Pengorbanan Seorang Ibu
- Tasnim Ahmad
- 16 hours ago
- 2 min read
Kalau korang masuk pawagam dengan harapan nak tengok filem seram yang penuh jumpscare, Khadam mungkin akan bagi sesuatu yang lebih daripada itu. Ya, ada babak yang membuatkan jantung berdegup laju, tetapi kekuatan sebenar filem ini terletak pada emosi, konflik keluarga dan penderitaan yang ditanggung oleh watak-wataknya.
Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam mengisahkan Melor yang cuba melindungi keluarganya daripada saka yang diwarisi turun-temurun. Namun, semakin kuat usahanya untuk mempertahankan orang yang disayangi, semakin besar pengorbanan yang perlu dilakukan. Sedikit demi sedikit, hidup Melor mula hancur sehingga keluarganya menjadi porak-peranda akibat pengaruh khadam yang sentiasa membawa niat jahat.
Apa yang menarik, filem ini tidak bergantung sepenuhnya kepada elemen seram tradisional. Sebaliknya, ia mengangkat persoalan tentang trauma generasi, tanggungjawab keluarga dan sejauh mana seseorang sanggup berkorban demi orang tersayang. Penonton bukan sahaja disajikan dengan ketakutan terhadap entiti ghaib, malah turut dibawa menyelami kesakitan emosi yang dialami setiap watak.
Dari segi lakonan, memang sukar untuk mencari kelemahan. Aghniny Haque berjaya membawa watak Melor dengan penuh jiwa sehingga penonton dapat merasai ketakutan, kesedihan dan keputusasaan yang dialaminya. Gandingannya bersama Remy Ishak juga memberikan impak yang kuat sepanjang filem berlangsung. Barisan pelakon lain seperti Siti Khadijah Halim, Karl' El dan Zarra Zhaff turut menyerlah menerusi persembahan yang meyakinkan.
Satu lagi aspek yang patut dipuji ialah rekaan bunyi dan sinematografi filem ini. Setiap bunyi, suasana sunyi dan visual yang dipaparkan berjaya membina rasa tidak selesa dalam kalangan penonton. Ada ketika, suasana yang senyap terasa lebih menyeramkan berbanding kemunculan entiti itu sendiri.
Bagi penulis, Khadam bukan sekadar sebuah filem seram tentang saka atau gangguan mistik. Ia adalah sebuah kisah mengenai sebuah keluarga yang sedang berjuang untuk terus bertahan walaupun dihimpit dengan penderitaan yang tidak berkesudahan. Gabungan elemen seram, drama keluarga dan psikologi menjadikan filem ini terasa lebih matang dan berbeza daripada kebanyakan filem seram tempatan yang lain.

Kalau korang sukakan filem seram yang bukan hanya bergantung kepada hantu dan jumpscare, tetapi turut mempunyai jalan cerita yang kuat serta emosi yang menyentuh hati, Khadam memang antara filem yang wajib masuk dalam senarai tontonan minggu ini. Bersedia saja, sebab selepas keluar pawagam nanti, rasa seram itu mungkin masih melekat dalam fikiran korang.







Comments