Remy Ishak Lawan Bayang-bayang Silam Dalam Filem Seram "Qifarah"
- Atiqah Halim
- 13 minutes ago
- 2 min read

Nama Remy Ishak sememangnya sinonim dengan watak lelaki yang berkarisma dan berjiwa besar. Namun kali ini, pelakon versatil itu tampil dengan sisi berbeza melalui filem seram terbaharu berjudul Qifarah, menandakan kemunculan semula beliau ke layar perak selepas beberapa ketika.
Filem Qifarah menonjolkan Remy sebagai Yusoff, seorang lelaki yang pulang ke tanah air selepas bertahun-tahun menetap di Kaherah bersama isteri dan anaknya. Tujuannya hanya satu, iaitu menziarahi ayahnya yang sedang tenat. Namun, kepulangan itu membuka semula rahsia lama dan menghidupkan kembali kegelapan yang pernah menghantui keluarga mereka.

Watak Yusoff bukan sekadar seorang lelaki yang ingin mencari kebenaran. Ia menggambarkan jiwa yang berperang dengan masa lalu, sambil berdepan ancaman kuasa jahat yang cuba meragut ketenangan hidupnya. Dalam perjuangan itu, Yusoff tampil sebagai suami dan bapa yang cekal, berusaha melindungi keluarganya sebelum semuanya terlambat.
Menurut Remy, Qifarah memberi peluang untuknya meneroka sisi lakonan yang lebih mendalam dan mencabar.
“Sudah lama saya tak membawa watak dalam filem seram. Tapi bila baca skrip Qifarah, saya rasa karakter Yusoff mempunyai intensiti tersendiri. Ceritanya gelap, seram dan misteri, sebab itu saya teruja untuk terlibat dengan projek ini,” katanya.
Menariknya, Remy turut berkongsi bahawa sepanjang penggambaran, beliau mengalami pengalaman aneh di lokasi.

“Kami berada di rumah itu selama dua setengah minggu untuk penggambaran. Satu malam, ketika saya tengah solat di tingkat atas, saya ternampak kelibat seseorang. Ingatkan kru, tapi dia memakai baju batik. Esoknya baru saya tahu rumah itu agak ‘keras’ rupanya,” ujarnya sambil tersenyum.
Dengan elemen seram yang digarap bersama tema kekeluargaan dan penebusan, Qifarah bukan sekadar filem menakutkan, tetapi juga sarat dengan emosi dan mesej moral. Ia menjadi bukti bahawa aura Remy Ishak sebagai “Hero Pujaan Malaya” masih utuh, kini tampil lebih matang dan berani meneroka dimensi baharu dalam lakonannya.
Filem Qifarah kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Saksikan sendiri transformasi Remy Ishak dalam naskhah yang menjanjikan debaran, misteri dan penghayatan yang menyentuh hati.

Comments