Raes Arifin Bangkit Dengan Single Debut Jalan Cinta
- Atiqah Halim

- Oct 8
- 2 min read

Naik dari program realiti Gimme The Mic 2024, penyanyi baharu Raes Arifin kini rasmi melangkah ke dunia muzik profesional dengan single debut berjudul Jalan Cinta yang merupakan sebuah karya yang bukan sekadar lagu, tapi juga refleksi perjalanan hidupnya.
Bernaung di bawah label Shiha Zikir Empire (SZE), Raes mengaku Jalan Cinta membawa makna peribadi yang sangat mendalam, menjadi simbol kebangkitannya selepas melalui pelbagai fasa getir dalam hidup.

“Nyanyian ni bukan sekadar hobi, tapi ‘alat’ untuk saya bangkit semula dari liku hidup,” kongsi Raes dengan nada penuh emosi. “Lagu Jalan Cinta ni jadi titik mula saya dalam dunia seni. Dari sini saya nak terus melangkah dengan lebih serius, insya-Allah.”
Lagu hasil kolaborasi SZE dan Sony Music Malaysia ini menyentuh tema cinta dan kehilangan; tentang seorang pencinta yang beri segalanya, tapi akhirnya ditinggalkan. Namun, di sebalik kisah sedih itu, terselit mesej kekuatan dan keikhlasan.
“Bagi saya, cinta tu bukan semata-mata pada seseorang. Cinta saya adalah pada nyanyian. Cinta ni yang selamatkan saya daripada buli, anxiety disorder, dan semua ujian hidup sebelum ni,” katanya.

Lirik seperti “dan aku merayu, jalan cinta ini tak berakhir dulu…” katanya, cukup menggambarkan doa peribadinya agar suaranya kekal menjadi sumber kekuatan untuk terus melangkah.
Menariknya, Raes dedahkan Shiha Zikir sendiri memainkan peranan besar dalam mencari lagu debut yang paling sesuai dengannya.
“Shiha ni nampak macam happy-go-lucky, tapi bila bab kerja, especially pemilihan lagu, dia sangat serius. Sampai berpuluh lagu dia tapis sebelum jumpa Jalan Cinta. Dia memang perfectionist bila bab ni,” kata Raes yang merakam lagu tersebut hanya dalam tempoh sejam di studio.

Dalam nada penuh penghargaan, Raes turut menzahirkan ucapan terima kasih tak terhingga kepada Shiha dan pasukan SZE yang sentiasa mempercayainya sejak awal.
“Dari SZ Talent Discover ke Gimme The Mic Malaysia, sampai sekarang dengan Jalan Cinta, mereka tak pernah lepaskan tangan saya. Semua dibuat sehabis baik untuk bentuk seorang Raes Arifin yang sebenar,” ujarnya.
Menutup bicara, Raes berharap Jalan Cinta bukan sekadar single sulung yang “sekali lalu”, tapi menjadi pintu kepada perjalanan panjang dalam industri muzik.
“Saya harap lagu ni boleh masuk dalam playlist galau semua orang, dan semoga ia jadi jambatan antara saya dan sunRaes yang dah sokong saya dari awal sampai sekarang,” katanya tersenyum.










Comments