Qifarah Hidupkan Kengerian Warisan Berdarah Dalam Filem Seram Pertama Ghaz Abu Bakar
- Atiqah Halim
- 7 days ago
- 2 min read

Ghaz Abu Bakar, nama yang biasa kita dengar bila cakap pasal filem aksi power, bukan seram. Tetapi tahun ini, beliau keluar dari zon selesa. Melalui Qifarah, yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025, Ghaz buat debut berani dalam genre seram, dan bukan jenis seram yang datang dari “boo!” murahan, tapi dari dosa silam yang hidup balik untuk menuntut balasan. Kisahnya tidak simple seperti yang disangka.
Filem ini ikut perjalanan Yusoff (lakonan mantap Remy Ishak), seorang lelaki yang balik Malaysia selepas 30 tahun menetap di Kaherah bila dapat tahu bapanya tengah nazak. Tapi kepulangan beliau bukan sekadar untuk jaga ayahnya, beliau datang untuk bantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam, sambil cuba bongkar misteri mistik yang selama ni menghantui keturunan beliau sendiri.

Tapi bila dah balik kampung, benda makin pelik. Mak tiri beliau, Mawar (Sharifah Sakinah) nampak tak tua langsung, adik beliau, Eykha (Liyana Jasmay) pula macam tak keluar dari fasa kanak-kanak. Bila isteri (Rita Nadira) dan anak dia (Rafique Iskandar) tiba-tiba muncul di rumah pusaka tu, semua mula jadi kacau-bilau. Bisikan, bayangan, darah, semua datang sekali.
Ghaz katakan sendiri, beliau mahu penonton rasa dunia yang beliau cipta, bukan sekadar tengok. Dari set reka bentuk, pencahayaan, kostum sampai ke bunyi, semuanya disusun rapi supaya setiap detik rasa berat, intense, dan haunting in a good way.

“Saya mahu setiap penonton merasai intensiti dunia ‘Qifarah’ dan pengajaran yang ingin disampaikan,” kata Ghaz. “Biar bila keluar pawagam nanti, masih rasa seram tu ikut sampai ke rumah.”
Barisan pelakon pun bukan calang-calang. Selain Remy, Sakinah, dan Liyana, filem ni juga dibarisi oleh Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, dan pelakon muda yang tengah naik, Rita Nadira. Gabungan lama dan baru ni bagi warna unik, antara vibe klasik seram Melayu dan sentuhan moden sinematik yang jarang kita dapat tengok sekarang.

Visualnya? Memang lain macam. Kalau sudah biasa tengok Polis Evo atau J Revolusi, korang tahu Ghaz tak main-main bab sinematografi. Tapi dalam Qifarah, dia bawa gaya tu ke alam seram. Bayangkan lighting yang buat bulu roma naik, kamera yang sengaja perlahan bila kau tak sabar nak tahu apa jadi, dan sound design yang buat kau rasa macam rumah tu hidup balik.
Qifarah = warisan berdarah + azab yang belum selesai.
Di sebalik semua visual dan misteri, mesej dia tetap kuat tentang dosa, pengampunan, dan karma yang datang semula walaupun kau dah cuba lari sejauh mana pun.

Kalau kau penat dengan filem seram Malaysia yang recycle konsep “saka dan pontianak”, Qifarah mungkin penyelamat tahun ni. Ghaz Abu Bakar nampak serius nak ubah standard filem seram tempatan dan kalau hasilnya padu macam yang dijanjikan, kita mungkin tengok kelahiran horror director baru Malaysia.
Mark kalendar, 9 Oktober 2025. Jangan lupa tengok Qifarah di pawagam berhampiran. Dan kalau balik rumah lepas tu tiba-tiba dengar bisikan dari dapur, jangan risau sangat, mungkin cuma amaran awal dari Qifarah.

Comments