top of page

Plong! Angkat New Wave Rock Dengan Single Baharu Gadis Shampoo

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 3 minutes ago
  • 2 min read

Kumpulan new wave rock tempatan, Plong!, kembali mencuri perhatian dengan single terbaharu berjudul Gadis Shampoo. Ringan, bertenaga dan dipacu groove yang melekat, lagu ini menangkap momen tarikan kecil dalam hidup seharian yang sering kita pandang remeh, tapi sebenarnya susah nak lupa.


Sebagai single kedua mereka sejak bernaung di bawah Luncai Emas, Gadis Shampoo jadi bukti Plong! masih konsisten membina identiti sendiri dalam landskap muzik alternatif tempatan yang makin sesak. Ritma rancak, bassline yang ‘kena’ dan karakter bunyi yang sedikit lari daripada kebiasaan menjadikan lagu ini kedengaran spontan, raw dan hidup.


Plong! diasaskan oleh Yayat Nasir selaku gitaris dan Akmal Borhan di posisi bass, bermula sebagai dua rakan yang bertemu ketika menuntut di Malaysian Institute of Art. Kini, barisan kumpulan ini dilengkapkan dengan Fahmi Samsudin sebagai vokalis dan Yasin Nasir di bahagian keyboard. Bunyi mereka lahir daripada campuran art rock eksperimental, gerakan disco yang dinamik, semangat punk yang ringkas serta ritma reggae, semuanya disatukan dalam struktur new wave dengan sentuhan budaya tempatan.


Nama Plong! sendiri tercetus secara santai, diinspirasikan oleh bunyi “plong” apabila dua kepingan logam berlaga. Maknanya kemudian berkembang apabila mereka menemui lagu Plong! nyanyian Didi Kempot yang membawa maksud tenang atau damai. Dua makna ini cukup kena dengan identiti mereka, muzik yang boleh kedengaran ganjil dan bising, tapi dalam masa sama terasa dekat dan menenangkan.



Gadis Shampoo terhasil secara organik ketika sesi latihan. Bermula daripada idea ringkas di keyboard, lagu ini berkembang melalui jamming santai yang penuh gelak ketawa. Tanpa tekanan dan tanpa perancangan rapi, setiap elemen disusun secara natural sehingga membentuk identitinya sendiri, dengan gitar rangup, groove mudah hadam dan tenaga reggae, punk serta disco yang terasa tulen.


Dari segi lirik, Gadis Shampoo bercerita tentang perasaan tertarik kepada seseorang yang tidak cuba menonjol, tapi tetap meninggalkan kesan mendalam. Tajuk lagu ini berfungsi sebagai metafora kepada pesona ringkas yang melekat lama, tentang bau, memori dan detik singkat yang terus bermain dalam ingatan.


Dipilih sebagai single kerana sifatnya yang mudah didekati dan menyeronokkan, Gadis Shampoo menampilkan sisi Plong! yang lebih playful tanpa mengorbankan prinsip mereka untuk tidak ikut arus. Dengan pengaruh daripada nama seperti Talking Heads, Blondie, Steely Dan, Kembara, Sudirman dan P. Ramlee, Plong! terus bereksperimen dengan bunyi yang tak dijangka sambil kekal raw dengan estetika mentah mereka.


Plong! tidak mengejar kesempurnaan bunyi. Apa yang mereka kejar adalah rasa. Melalui Gadis Shampoo, pendengar diajak untuk tersenyum, mengimbau kenangan atau sekadar hanyut dengan alunannya. Segar, ringan dan senang untuk diulang dengar, single ini menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan muzik Plong!.


Selain boleh didengari di semua platform penstriman digital, video muzik Gadis Shampoo juga sudah dilancarkan di YouTube. Diterbitkan oleh Krew Filem Sek Kito, sebuah kolektif yang dikenali dengan pendekatan DIY yang mentah dan bersahaja, visualnya menjanjikan pengalaman penuh nostalgia, eksentrik dan fun.



Comments


bottom of page