top of page

Peminat Nak Tampar, Cili Trisha Ooi Geram Watak Bella: “Cuba Tengok Dia Dengan Empati”

  • Writer: N
    N
  • Nov 17
  • 2 min read

Keberkesanan lakonan Trisha Ooi sebagai Bella, watak antagonis paling dibenci dalam drama Jika Cinta Itu Buta, membuatkan dirinya menerima pelbagai ugutan daripada penonton yang terlalu terbawa emosi.

ree

Bella digambarkan sebagai seorang wanita yang bukan sahaja jahat, malah membuat keputusan di luar logik dan kawalan. Tidak hairanlah jika watak ini menjadi antara karakter paling kontroversi dalam slot Tiara di Astro Prima, yang bersiaran Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang.


Pelakon berusia 26 tahun itu turut mengakui dia menerima mesej ugutan untuk “tampar” dan “cili”, semuanya kerana penonton marah dengan perangai biadab Bella.

ree

Menurut Trisha, segala komen dan hinaan itu sebenarnya menjadi tanda bahawa lakonannya berhasil.

“Jujur, saya anggap itu satu pujian. Bila orang betul-betul marah dengan watak itu (Bella), maknanya mereka percaya dengan lakonan saya. “Saya baca komen-komen (tampar, nak cili) dengan hati terbuka, sebab itu tanda watak Bella meninggalkan kesan. Tapi dalam masa sama, saya harap penonton dapat membezakan antara Bella dan Trisha. “Dan harap jangan cili betul-betul lah ya,” katanya sambil tersenyum.

Trisha menegaskan dia tidak mengambil hati, namun berharap peminat tidak terlalu terbawa emosi hingga melupakan bahawa Bella hanyalah watak fiksyen.

ree

Selain meminta peminat tidak memandang Bella semata-mata sebagai musuh, Trisha turut mengajak penonton melihat sisi lebih mendalam watak itu.

“Saya faham kenapa ramai benci Bella. Tapi cuba tengok dia dengan sedikit empati. “Kadang orang yang paling menyakitkan kita, sebenarnya paling banyak terluka. “Jadi tengok dia bukan sebagai musuh, tapi sebagai cermin dan mungkin ada sesuatu yang kita boleh belajar dari watak Bella,” ujarnya.
ree

Bagi Trisha, membawakan watak yang ekstrem seperti Bella memberi pengalaman baharu dan mencabar, apatah lagi berlakon bersama nama-nama besar seperti Uqasha Senrose, Keith Foo dan Shah Jaszle.

“Setiap kali ke set, saya bukan berlakon tapi menyelami cara Bella berfikir. Dia bukan sekadar jahat, tapi di luar jangkaan. “Saya perlu faham keputusan-keputusan yang orang luar nampak ‘salah’, tapi bagi Bella itu cara untuk bertahan. “Watak Bella penuh dramatik dan emosi. Ia mencabar tapi sangat seronok sebab ada ruang untuk saya bereksperimen,” katanya.


Drama terbitan Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd ini diarahkan oleh Uchee Fuckada dan Ain Shariff.

 
 
 

Comments


bottom of page