Pasca Kau Pergi: Drama Sarat Emosi Tentang Ketabahan Sebuah Keluarga
- kaypohmedia
- Jun 16
- 2 min read
Apabila tragedi meruntuhkan bahagia dan kasih mula pudar, mampukah ikatan keluarga bertahan? Inilah persoalan utama yang diangkat menerusi drama bersiri terbaru, Pasca Kau Pergi, yang bakal menghiasi slot Akasia di TV3 bermula 20 Jun 2025, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam. Penonton juga boleh menstrim secara percuma di iQIYI pada jam 8.00 malam.

Diterbitkan oleh KL Motion Pictures dan diarahkan oleh Rashidi Ishak, drama 13 episod ini menjanjikan sebuah penceritaan yang penuh emosi, menyentuh realiti kehidupan dan sarat dengan mesej kekeluargaan yang mendalam. Ia bukan sekadar drama keluarga biasa, tetapi satu kisah perjuangan tentang cinta, pengorbanan dan kekuatan menghadapi ujian hidup.
Pasca Kau Pergi menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Liyana Jasmay, Johan As’ari, Syed Irfan, Qaidah Marha, Fiyya Amsyar, Zamarul Hisham dan Nadiya Nisaa. Gandingan mantap ini menjanjikan persembahan lakonan yang menyentuh hati serta sarat dengan konflik dan drama yang realistik.
Mengisahkan tentang Zulkifli (lakonan Johan As’ari), seorang ayah dan usahawan berjaya yang hidup bahagia bersama isterinya, Azlina (Liyana Jasmay), dan tiga orang anak mereka. Namun, kebahagiaan mereka diragut apabila Zulkifli terlibat dalam satu tragedi yang menyebabkan dia lumpuh. Keadaan ini mengubah hidup seluruh keluarga, mencetuskan tekanan, krisis kepercayaan dan pengorbanan yang besar.
Di tengah kehancuran, muncul Faris (lakonan Syed Irfan), anak sulung yang menjadi tulang belakang keluarga. Dalam usia remaja, Faris memikul beban menjaga ayahnya dan memastikan adik-adiknya tidak terabai. Menurut Syed Irfan, watak ini sangat mencabar kerana melibatkan emosi yang mendalam dan kisah sebenar yang mungkin berlaku dalam masyarakat.
“Membawakan watak Faris bukan sekadar lakonan, ia adalah satu pengalaman emosi yang sangat berat. Saya berharap penonton dapat merasai kepayahan dan ketabahan watak ini, kerana di luar sana mungkin ada anak-anak yang sedang berjuang dalam diam,” ujar Syed Irfan.
Pasca Kau Pergi mengajak penonton menyelami sisi kehidupan yang jarang diberi perhatian dari tekanan kewangan, runtuhnya institusi keluarga, hingga kasih sayang yang teruji. Di sebalik semua itu, drama ini memaparkan kasih anak terhadap keluarga sebagai cahaya harapan dalam kegelapan hidup.
Jika anda mencari drama yang mampu menyentuh emosi, menyorot realiti kehidupan dan mengangkat nilai kekeluargaan sebenar, Pasca Kau Pergi adalah pilihan wajib tonton musim ini.
Jangan lupa untuk saksikan episod pertama pada 20 Jun 2025 di TV3 atau strim secara percuma di iQIYI!
Comentários