top of page

Paraxnormal: Komedi Seram Psikologi Baharu Yang Mengusik Jiwa dan Tawa

  • kaypohmedia
  • 3 days ago
  • 2 min read

Paraxnormal, sebuah filem komedi seram psikologi terbitan Nanord Studio Production, tampil sebagai naskhah yang menyegarkan genre seram tempatan. Bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 28 Ogos 2025, Paraxnormal bukan sekadar mengandungi elemen mistik dan hantu biasa, sebaliknya mengupas sisi gelap manusia menerusi kisah persahabatan yang penuh konflik, ketamakan, dendam dan pengkhianatan.

Menurut penerbit filem ini, Nurul Ain Nordin, idea untuk menghasilkan Paraxnormal lahir secara tidak sengaja daripada perbualan santai bersama rakan karibnya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang.


“Kami pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini. Dari situ, tercetus ilham untuk menghasilkan karya yang lebih mendalam tetapi masih menghiburkan. Kami ingin bawakan satu mesej, kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri,” jelas Ain.

Filem ini mengisahkan empat sahabat karib Yasin, Asri, Fateh dan Anas yang terpisah sejak kecil dan kembali bersatu selepas 30 tahun. Anas kemudian mencadangkan satu pelan gila: merompak sebuah vila tinggal misteri bernama Vila Casablanca yang dikatakan berhantu tetapi dikhabarkan menyimpan harta lebih RM10 juta. Namun, apa yang menanti mereka jauh lebih menakutkan daripada entiti ghaib iaitu rahsia, pengkhianatan dan kegelapan dalam diri mereka sendiri.


Barisan pelakon yang membintangi Paraxnormal turut menjadi antara tarikan utama. Joey Daud (Yasin), Azhan Rani (Asri), Epy Kodiang (Fateh), Amir Nafis (Anas) dibantu oleh Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff, gabungan bakat berpengalaman dan pelapis baharu yang berjaya mewujudkan keserasian luar biasa.

Menariknya, Paraxnormal pada awalnya dirancang sebagai sebuah super telemovie pada tahun 2023. Namun, kekuatan naratif dan potensi penceritaannya telah mendorong produksi ini untuk membawanya ke layar perak.


Namun, penggambaran filem ini bukan tanpa cabaran. Ain turut berkongsi pengalaman gangguan teknikal dan kejadian aneh yang berlaku sewaktu di set penggambaran.


“Ada hari kru mendakwa ternampak dua ‘Ain’ serentak di lokasi. Malah, penolong pengarah pernah tiba-tiba mengamuk tanpa sebab dan pengsan secara misteri hingga penggambaran terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Dengan gabungan genre yang unik, lakonan mantap dan mesej yang menusuk perasaan, Paraxnormal menjanjikan satu pengalaman sinematik yang berbeza. Ia bukan sekadar cerita seram biasa, tetapi satu naskhah yang mengetengahkan sisi manusia yang lebih menakutkan daripada hantu.


Paraxnormal bakal menggamit penonton ke pawagam pada 28 Ogos 2025. Bersedialah untuk ketawa, terkejut dan berfikir kerana ketakutan sebenar mungkin datang dari orang yang paling kita percaya.

Comments


bottom of page