Papa Zola The Movie Tawan Indonesia, 515,000 Penonton Dalam 35 Hari
- Tasnim Ahmad
- 4 hours ago
- 2 min read
Siapa sangka Papa Zola The Movie kini bergelar filem Malaysia paling berjaya di Indonesia? Ya, animasi tempatan ini berjaya tarik 515,000 penonton sepanjang 35 hari tayangan di sana. Bukan angka kecil ya, lagi-lagi untuk filem dari Malaysia yang masuk pasaran seberang.

Filem terbitan Monsta dengan kerjasama Astro Shaw ini bukan sekadar mencuba nasib di pasaran Indonesia. Malah, ia tersenarai dalam kelompok tiga filem dengan kutipan tertinggi di Indonesia pada awal tahun ini. Satu pencapaian yang memang buat industri filem tempatan boleh senyum lebar.
Kalau nak ikutkan, kejayaan ini bukan datang tiba-tiba. Sebelum “menakluk” Indonesia, filem arahan Nizam Razak ini sudah pun mencipta fenomena di Malaysia, Singapura dan Brunei. Setakat ini, jumlah kutipan keseluruhan sudah melebihi RM69 juta. Untuk filem animasi tempatan, itu memang angka yang solid.
Apa yang buat Papa Zola The Movie jadi pilihan? Selain jalan cerita yang mudah hadam dan penuh emosi, elemen humor yang ‘kena’ dengan budaya serantau juga jadi kekuatan utama. Menariknya, pasukan produksi tak ambil jalan mudah bila masuk pasaran luar. Mereka lakukan alih suara dalam beberapa bahasa utama termasuk Inggeris, Korea, Arab, Hindi, Turki dan Vietnam.

Bukan sekadar tukar bahasa semata-mata. Dialog, jenaka dan rujukan budaya turut diolah supaya lebih dekat dengan penonton setiap negara. Kiranya memang ada usaha untuk ‘blend in’ dengan citarasa tempatan, bukan hanya harapkan sari kata.
Lepas Indonesia, misi seterusnya lebih besar. Filem ini dijadualkan ke Arab Saudi, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu hujung April, sebelum ke Korea Selatan dan Turkiye pada Mei, diikuti Vietnam serta India pada Jun. Nampaknya, Papa Zola memang sedang dalam ‘world tour’ versi animasi.
Kalau momentum ini berterusan, tak mustahil animasi Malaysia akan semakin dipandang serius di peringkat antarabangsa. Dan sebagai penonton tempatan, memang ada rasa bangga bila karya sendiri boleh berdiri sama tinggi di luar negara.
Akhir kata, kejayaan Papa Zola The Movie ini bukan sekadar tentang angka 515,000 penonton. Ia tentang potensi, usaha dan keyakinan bahawa industri animasi Malaysia sebenarnya ada taring. Tinggal lagi, kita sebagai penonton, nak terus sokong atau tidak?



Comments