One Direction Bakal Bersatu Semula Dalam Dokumentari Netflix?
- Atiqah Halim
- 10 hours ago
- 1 min read

Khabar terbaru dari Hollywood buat peminat One Direction kembali berdebar. Menurut laporan Page Six, dua bekas ahli kumpulan popular tersebut, Louis Tomlinson dan Zayn Malik, dikatakan sedang menjalani penggambaran sebuah dokumentari atau rancangan jalanan bersama Netflix.
Projek ini dilaporkan bakal membawa penonton menelusuri perjalanan kerjaya mereka selepas perpecahan One Direction, selain menyentuh kenangan manis dan pahit sepanjang bersama kumpulan tersebut. Lebih emosional, dokumentari ini juga dikatakan akan memberi ruang untuk mereka mengenang momen bersama arwah Liam Payne, yang meninggal dunia baru-baru ini.

Walaupun berita ini hangat diperkatakan, setakat ini hanya nama Louis dan Zayn yang disebut. Tiada pengesahan rasmi mengenai penglibatan ahli lain seperti Niall Horan dan Harry Styles. Malah, pihak Netflix sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai projek ini.

Jika benar direalisasikan, kemunculan Zayn dalam dokumentari ini pasti menjadi sorotan besar. Sejak meninggalkan One Direction pada tahun 2015, penyanyi tersebut jarang sekali terlibat dalam sebarang reunion bersama bekas ahli kumpulannya.
Buat para peminat tegar, projek ini bukan sahaja dianggap sebagai sebuah dokumentari hiburan, tetapi juga sebagai penghormatan kepada legasi One Direction yang pernah mencipta fenomena global.
Comments