top of page

Odeon KL Kembali Bernyawa, Dari Layar Perak Ke Pentas Seni Generasi Baharu

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 24 hours ago
  • 2 min read

ree

Kuala Lumpur semakin ‘hidup’ dengan kebangkitan semula salah satu bangunan paling bersejarah di ibu kota. Odeon KL yang mula beroperasi sejak 1936 kini menjalani transformasi besar-besaran untuk kembali bernafas sebagai hab seni, muzik dan budaya bertaraf profesional.


Terletak di atas tanah milik UDA Holdings Berhad, Odeon KL kini berada di bawah pengurusan penuh Rockstation Event & Entertainment Sdn Bhd yang diterajui oleh Pengarah Urusannya, Mozylir Mokhtaruddin. Lokasinya yang strategik di Jalan Tuanku Abdul Rahman, hanya beberapa ratus meter dari stesen LRT dan monorel menjadikannya antara venue paling mudah diakses di pusat bandar.


Sekeliling Odeon KL juga dikelilingi pusat beli-belah utama seperti Sogo, Campbell dan Kompleks Pertama yang menjadikan kawasan ini sentiasa hidup dengan aliran pengunjung tempatan dan pelancong.


Dengan visi baharu, Rockstation mahu mengangkat semula Odeon KL sebagai dewan konsert, ruang aktiviti seni dan platform kebudayaan serba lengkap. Menerusi pelan pembangunan selama 10 tahun, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi kerja pemuliharaan dan naik taraf tanpa menjejaskan nilai sejarah bangunan warisan ini.


Antara kemudahan yang sedang ditambah baik termasuk sistem bunyi dan akustik profesional, bilik persalinan artis yang lebih selesa, ruang logistik produksi, kemudahan parkir, laman niaga komuniti serta surau untuk pengunjung. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.


Bukan sekadar mengangkat martabat seni persembahan tempatan, kebangkitan semula Odeon KL turut disasar menjadi pemangkin peluang perniagaan baharu khususnya kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang kepada ekonomi setempat. Selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara seni, muzik, budaya dan festival sedang dirangka untuk menjadikan Odeon KL sebagai destinasi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur.


Gabungan sejarah hampir satu abad, lokasi strategik dan pelan moden menjadikan Odeon KL simbol kebangkitan kota seni yang lebih progresif dan inklusif.


ree

Barbarik Buka Tirai Sejarah Baharu Odeon KL


Sebagai pembuka tirai kepada era baharu ini, kumpulan rock Barbarik dipilih sebagai artis pertama yang bakal menggegarkan pentas Odeon KL yang telah dinaik taraf. Konsert berjudul Pentas Barbarik Live @ Odeon KL dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025.


Pemilihan Barbarik sebagai artis pembuka bukan sekadar berdasarkan reputasi mereka dalam arena muzik keras tempatan, malah kerana keupayaan muzik mereka sebagai ujian sebenar kepada sistem bunyi, akustik dan kelengkapan teknikal baharu Odeon KL. Kejayaan konsert Peluru Cokelat serta sokongan padu komuniti Rejim Barbarik turut mengukuhkan lagi keputusan tersebut.


Pengarah Urusan Rockstation, Mozylir Mokhtaruddin berkata pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Barbarik yang disifatkan sebagai antara band yang berjaya mencetuskan fenomena tersendiri di pentas tempatan.


Sambutan terhadap konsert pembukaan ini juga ternyata luar biasa apabila semua tiket habis terjual dengan kehadiran dijangka mencecah 2,500 peminat pada malam bersejarah itu.


ree

Dari panggung wayang legenda kepada pentas seni moden, Odeon KL kini bersedia untuk menulis semula sejarahnya bersama generasi baharu. Ini bukan sekadar kebangkitan sebuah bangunan lama, tetapi satu langkah besar dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota seni dan muzik yang semakin relevan.

Comments


bottom of page