Nusantara International Convention Exhibition (NICE): Venue Baru Untuk Hammersonic 2026
- kaypohmedia
- Jul 28
- 2 min read
Festival muzik metal terbesar di Asia Tenggara, Hammersonic 2026, secara rasmi berpindah lokasi ke Nusantara International Convention Exhibition (NICE) di Pantai Indah Kapuk, Banten. Pengumuman ini dibuat oleh pihak penganjur, Ravel Entertainment, melalui laman Instagram rasmi mereka pada Isnin, 28 Julai 2025.

Langkah ini menandakan perubahan signifikan selepas beberapa tahun Hammersonic berlangsung di Pantai Carnaval, Ancol, Jakarta Utara. Perpindahan ke NICE PIK dijangka memberikan pengalaman lebih moden dan selesa kepada pengunjung, sesuai dengan aspirasi festival yang kini memasuki edisi ke-10.
Hammersonic 2026 akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 2 dan 3 Mei 2026, dan setakat ini barisan artis yang diumumkan cukup mengujakan. Paling mencuri perhatian pastinya kehadiran My Chemical Romance (MCR) sebagai salah satu penampilan utama. Kemunculan MCR bukan sahaja menjadi simbol nostalgia bagi peminat muzik emo dan rock generasi 2000-an, malah turut mewakili evolusi genre rock dalam festival ini. Selain MCR, turut tersenarai ialah New Found Glory, Of Mice & Men, Memphis May Fire, dan Knuckle Puck menjanjikan pentas yang meriah dan pelbagai.

Menurut Ravel Junardy, CEO Ravel Entertainment dan pengasas Hammersonic Festival, kehadiran MCR adalah strategi untuk menarik minat khalayak yang lebih luas. Baginya, MCR mewakili memori kolektif yang dikongsi oleh pelbagai generasi peminat muzik, dan ini selari dengan visi Hammersonic yang mahu berkembang dari festival metalcore konvensional kepada platform yang lebih inklusif dalam lanskap muzik keras. Ravel juga menyatakan bahawa Hammersonic 2026 akan menjadi edisi paling spektakuler dalam sejarah penganjurannya.
Tiket Hammersonic 2026 sudah mula dijual melalui laman rasmi www.hammersonic.com, dengan harga bermula dari Rp 1.199.000 (≈ RM 348) hingga Rp 3.099.000 (≈ RM 899). Sambutan awal amat memberangsangkan apabila tiket presale fasa pertama dan kedua habis terjual selepas pengumuman lineup yang melibatkan My Chemical Romance. Dengan reputasi yang semakin kukuh, lokasi baharu yang lebih eksklusif, dan barisan artis antarabangsa yang memikat, Hammersonic 2026 dijangka akan menjadi festival rock yang paling dinantikan di rantau ini tahun hadapan.









Comments