Nubhan Kembali Dengan Single Terbaru Andai Derita Selepas Gegar Vaganza 2026
- kaypohmedia
- 4 hours ago
- 2 min read
Selepas mencuri perhatian dalam program realiti popular Gegar Vaganza 2026, penyanyi bersuara gemersik, Nubhan, meneruskan langkah seninya dengan melancarkan single terbaharu berjudul Andai Derita. Selepas beberapa tahun tanpa rakaman terbaru, lagu ini muncul sebagai naskhah yang memaparkan kisah seorang lelaki yang tetap setia meskipun kepercayaan yang diberi telah dikhianati. Andai Derita bukan tentang luahan amarah atau dendam, sebaliknya ia sebuah kisah cinta yang memilih untuk diam, bertahan dan akhirnya menerima dengan redha.

Senikata lagu ini seperti Demi bahagiamu, biarku pergi sayang, menekankan sebuah doa yang tidak pernah terucap. Melodinya yang memeluk hati memberi ruang kepada pendengar untuk merenung dan menghayati pengalaman derita yang dialami secara senyap. Setiap bait seolah mengajak pendengar bahawa tidak semua kesakitan perlu dijelaskan, dan ada masanya diam adalah cara terbaik untuk memujuk hati sendiri.
Menurut Nubhan, setiap manusia pasti pernah singgah di persimpangan derita. Lagu ini hadir sebagai teman bagi mereka yang sedang berjuang dalam kesakitan yang tidak ditunjukkan kepada sesiapa. Bagi Nubhan, derita tidak semestinya perlu dilawan, cukup sekadar diterima dengan reda agar hati lebih tenang.

Nubhan, yang merupakan salah seorang pelajar Akademi Fantasia musim ke-6 dan mara ke peringkat akhir bersama Stacy, Riz dan Toi, telah menonjolkan diri dalam genre pop dan balada Melayu. Antara lagu hit beliau termasuk Oh Juwita dan lagu duet bersama Siti Nordiana, Sekali Lagi pada 2021. Selain berkecimpung dalam bidang nyanyian, Nubhan juga aktif sebagai usahawan dan content creator di media sosial.
Single Andai Derita diterbitkan di bawah label rakaman Luncai Emas, dengan hak cipta lagu dan lirik dikawal oleh pihak yang sama. Kerjasama bersama Luncai Emas memberi platform strategik kepada Nubhan untuk meneruskan kerjaya seninya dengan konsisten dalam industri muzik tempatan. Peminat dan media diharap dapat menerima dan menghayati karya terbaru ini, serta memberikan sokongan terhadap perjalanan seni Nubhan.

Andai Derita kini boleh didengari di semua platform penstriman digital seperti Spotify dan Apple Music mulai 16 Januari 2026. Sebuah video muzik rasmi juga dijangka akan dilancarkan di saluran Youtube Luncai Emas tidak lama lagi, membolehkan peminat menikmati pengalaman visual bersama lagu ini.









Comments