top of page

Naykilla Live di Zepp KL Mei 2026

  • Writer: N
    N
  • 5 hours ago
  • 2 min read

Peminat muzik Indonesia di Malaysia, ada berita baik! Naykilla bakal mengadakan konsert solo di Zepp Kuala Lumpur pada 23 Mei 2026, selepas berjaya mencuri perhatian ramai menerusi penampilannya dalam acara Puting Beliung Tenxi pada Januari lalu. Kali ini, penyanyi yang semakin meningkat naik itu akan tampil secara solo, membawa pengalaman yang lebih dekat dan eksklusif buat peminat tempatan.

Konsert yang diberi nama Centyl in My Playground ini dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam dan dijangka menjadi malam penuh tenaga dengan deretan lagu popular seperti Bahasa Tubuhmu, Kasih Aba-Aba, Raga, SO ASU serta beberapa lagi lagu kegemaran peminat. Menariknya, Naykilla yang juga merupakan calon Pendatang Baru Paling Ngetop di SCTV Music Awards 2025 turut akan ditemani artis jemputan istimewa yang bakal diumumkan kemudian.

Kemunculan Naykilla secara solo di Kuala Lumpur bukan sekadar konsert biasa. Ia menjadi bukti bahawa pengaruh artis Indonesia semakin kuat di Malaysia, terutamanya dalam kalangan peminat muda yang aktif di media sosial. Selepas mendapat sambutan hangat dalam acara sebelum ini, konsert solo ini dilihat sebagai langkah seterusnya untuk mengukuhkan namanya di peringkat serantau.


Bagi yang dah hafal lagu Bahasa Tubuhmu atau sering nampak trend Naykilla di TikTok, ini mungkin peluang terbaik untuk merasai sendiri aura live beliau. Dengan venue indoor seperti Zepp Kuala Lumpur, pengalaman menonton dijangka lebih intimate dan interaktif, jenis konsert yang boleh nyanyi sama-sama dari awal sampai habis.

Tiket untuk konsert ini akan mula dijual pada 13 Februari 2026 bermula jam 3.00 petang, dengan harga bermula dari RM180 hingga RM250 mengikut kategori. Untuk peminat tegar yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, terdapat juga pakej Playground bernilai RM5,000 yang menawarkan akses istimewa.


Kalau anda sedang mencari konsert menarik tahun ini, Centyl in My Playground mungkin patut masuk dalam senarai. Siap-siap warm up suara, simpan tenaga, dan jangan lupa set reminder, nanti senang nak ikut sama bila Naykilla bagi “aba-aba” di pentas!

Comments


bottom of page