Nam Joo Hyuk Kembali Dengan Aura Misteri Dalam The East Palace
- Tasnim Ahmad
- 2 hours ago
- 1 min read
Peminat K-drama nampaknya ada satu lagi siri yang boleh dimasukkan dalam senarai tontonan bulan depan. The East Palace baru sahaja mendedahkan poster watak utama yang memberi gambaran tentang suasana misteri dan penuh tanda tanya menjelang tayangannya di Netflix pada 17 Julai ini.

Poster tersebut menampilkan Nam Joo Hyuk, Roh Yoon Seo dan Cho Seung Woo yang masing-masing membawa aura tersendiri. Nam Joo Hyuk tampil sebagai Gu Cheon, seorang lelaki yang mempunyai kebolehan memasuki dunia roh, manakala Roh Yoon Seo memegang watak Saeng Gang, seorang dayang istana yang mampu mendengar bisikan makhluk halus. Mereka berdua berganding bahu untuk menyiasat sumpahan misteri yang menghantui Istana Timur atas arahan raja lakonan Cho Seung Woo.
Menurut Nam Joo Hyuk, antara cabaran terbesar ketika membawakan wataknya adalah berlakon dengan sesuatu yang tidak dapat dilihat. Pelakon itu perlu membayangkan sendiri kewujudan roh dan dunia misteri yang menjadi latar utama siri tersebut supaya ia terasa lebih hidup di skrin.
Roh Yoon Seo pula menyifatkan The East Palace sebagai siri yang bukan sekadar bergantung kepada elemen seram semata-mata. Sebaliknya, drama ini menggabungkan aksi, makhluk misteri dan kisah emosi setiap watak yang membuatkan jalan ceritanya lebih menarik untuk diikuti.
Dalam masa sama, Cho Seung Woo mendedahkan bahawa watak rajanya menyimpan pelbagai rahsia yang mungkin sukar dibaca oleh penonton. Konflik dan emosi antara watak-watak utama juga menjadi salah satu kekuatan terbesar siri ini.

Dengan gabungan elemen fantasi, misteri dan suasana istana yang penuh rahsia, The East Palace dilihat berpotensi menjadi antara K-drama yang mencuri perhatian ramai apabila mula distrim di Netflix pada 17 Julai nanti.



Comments