Mikael: Pemburu Dua Alam Tampilkan Remy Ishak Dengan Watak Luar Biasa
- Tasnim Ahmad
- Mar 17
- 1 min read
Filem Mikael: Pemburu Dua Alam nampaknya bakal memberi warna baharu kepada industri filem tempatan. Dengan elemen supernatural dan thriller, filem ini berani membawa penonton menyelami kisah yang jarang diketengahkan dalam pawagam Malaysia.

Menariknya, filem ini juga memperlihatkan sisi berbeza lakonan Remy Ishak, yang tampil dengan watak yang tidak pernah dilihat sebelum ini sepanjang kerjayanya.
Dalam dunia filem tempatan, genre supernatural bukanlah sesuatu yang sering diteroka. Selain memerlukan penceritaan yang kuat, elemen mistik juga perlu dibangunkam dengan teliti supaya tidak kelihatan klise.
Namun, Zahir Omar sebagai pengarah cuba membawa pendekatan yang sedikit berbeza menerusi Mikael: Pemburu Dua Alam, sekali gus memberi nafas baharu kepada penonton yang dahagakan cerita luar daripada kebiasaan.
Kisahnya mengikuti seorang pegawai polis yang sedang menyiasat kes pembunuhan kejam. Pada awalnya, kes tersebut kelihatan seperti jenayah biasa.
Tetapi semakin jauh siasatan dijalankan, semakin jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena iaitu sesuatu yang melibatkan makhluk dari alam jin.
Situasi itu akhirnya membawa watak utama berdepan dengan Raja Jin, dalam usaha menjaga keseimbangan antara dua dunia yang berbeza.
Selain Remy Ishak, filem ini turut menampilkan barisan pelakon lain seperti Norreen Iman, Fabian Loo, dan Alicia Amin yang masing-masing membawa karakter tersendiri dalam penceritaan penuh misteri ini.
Bagi peminat filem tempatan yang suka elemen seram, misteri dan aksi, Mikael: Pemburu Dua Alam mungkin antara naskhah yang patut masuk dalam senarai tontonan.

Filem ini dijadualkan mula menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 2 April.



Comments