Marygrace Wakil Sabah Dalam Kempen Gawai & Kaamatan
- Nurul Safiah
- 2 days ago
- 1 min read

Marygrace terus membina nama sebagai ikon muzik muda yang menyerlah kini dipilih sebagai wajah rasmi yang mewakili Sabah dalam kempen Gawai & Kaamatan 2025 anjuran Pepsi dan TV Sarawak (TVS)!
Marygrace menyemarakkan semangat pesta menuai menerusi lagu rasmi kempen tersebut bertajuk Happy Gawai Kaamatan (Pepsi Harvest Celebration Anthem).
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Belle ini memadukan irama moden pop dengan elemen muzik tradisional, sekaligus mencipta satu nadi muzik segar yang menyatukan budaya Borneo dalam satu melodi penuh semangat.

Menurut Marygrace, pengalaman merakamkan lagu ini di Maveriq Studio, Kuala Lumpur, merupakan satu detik bermakna dalam karier seninya.
“Saya rasa sangat terharu dan bangga dapat menjadi sebahagian daripada kempen ini. Ia bukan sekadar nyanyian, tetapi satu penghormatan untuk mewakili budaya yang kaya dan berwarna-warni,” ujarnya.
Marygrace turut membuat kemunculan istimewa sempena sambutan Pesta Kaamatan di KDCA, Sabah, sebagai tanda sokongannya terhadap kempen ini. Komitmen beliau menyerlahkan versatiliti dan semangatnya dalam memartabatkan budaya menerusi muzik.
Happy Gawai Kaamatan kini boleh ditonton di semua platform digital. Saksikan keindahan suara, budaya dan semangat perpaduan dalam satu persembahan yang pasti menyentuh hati.

Comments