top of page

Marsha Milan Harumkan Nama Malaysia di Malaysia Fest Sydney

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • Dec 2
  • 2 min read
ree

Marsha Milan sekali lagi jadi kebanggaan negara apabila tampil sebagai artis jemputan khas di Malaysia Fest yang berlangsung di Tumbalong Park, Sydney pada 22 November lalu. Festival budaya tahunan itu menghimpunkan rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa, dengan lebih 20,000 pengunjung datang meraikan seni, makanan dan muzik negara.


Persembahan Marsha benar benar mencuri perhatian, penuh tenaga dan penuh jiwa. Lagu lagunya seperti Hening Rindu dan Cinta disambut dengan sorakan padu daripada penonton. Aura Borneo turut memanaskan suasana apabila Marsha membawakan Sumandak Sabah, Pelangi Pasti dan Nalan Nalan yang menjadi antara segmen paling digemari komuniti Malaysia di Sydney.


ree

Berkongsi keterujaan, Marsha menyifatkan peluang membuat persembahan di pentas antarabangsa sebagai momen penuh makna dalam kerjayanya. “Saya sangat bangga dipilih mewakili Malaysia di Sydney. Melalui album Misompuru dan lagu seperti Cinta serta Hening Rindu, saya dapat memperkenalkan keindahan budaya dan muzik negara kepada penonton luar,” katanya.


Untuk pentas besar di Sydney, Marsha dan pasukannya melakukan persiapan rapi demi memastikan persembahan berjalan lancar. “Alhamdulillah semuanya dipermudahkan. Kebimbangan saya hanya pada tenaga dan momentum persembahan tetapi hasil akhirnya sangat memuaskan. Kami juga dibantu oleh penari daripada Wandie Space Art Performance dan saya kembali bekerjasama dengan Saerah untuk menghasilkan gaya kontemporari tradisional sepanjang set,” katanya lagi.


Penglibatan Marsha di Malaysia Fest 2025 bukan sekadar menunjukkan keupayaan vokal dan pentasnya tetapi turut menegaskan kedudukannya sebagai wajah budaya Malaysia. “Detik paling istimewa ialah melihat semua orang menyanyi dan menari bersama. Itu satu kemenangan besar buat saya sebagai penyanyi. InsyaAllah saya berharap peluang ini membuka jalan untuk terus berkarya dan memberikan sesuatu yang menyentuh hati pendengar,” tambahnya.


ree

CEO MFest, Syahmi Ismail, menyatakan edisi kali ini membawa misi lebih besar khususnya dalam menyokong kempen Visit Malaysia 2026. “Festival ini menjadi simbol sokongan belia serta pelajar Malaysia di Sydney. Pemilihan artis sangat teliti kerana mereka menjadi suara Malaysia. Mereka perlu ikon seni yang benar benar mempunyai pengaruh di peringkat antarabangsa,” katanya mengenai pemilihan Marsha sebagai artis utama.


Malaysia Fest terus menjadi antara platform antarabangsa paling penting dalam mempromosikan identiti Malaysia merangkumi warisan, muzik, seni dan budaya. Tahun ini, kehadiran komuniti Malaysia dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menjadikan festival ini antara sambutan budaya terbesar anjuran diaspora Malaysia di Sydney.



Untuk maklumat terkini mengenai Alternate Records & Talents, ikuti Facebook, @alternate.my_, Instagram @alternate.my_ dan TikTok @alternate.rt_.

Comments


bottom of page