Margasatwa Lancar ‘Gembira Raya’, Lagu Raya Pertama Penuh Emosi
- Tasnim Ahmad
- 6 minutes ago
- 2 min read
Kalau korang tengah cari lagu Raya baru untuk masuk playlist tahun ni, Gembira Raya oleh Margasatwa mungkin boleh jadi pilihan menarik. Bukan sekadar lagu perayaan biasa, single pertama bertemakan Raya daripada kumpulan ini datang dengan vibe emosi yang relatable, siap jadi soundtrack untuk filem pendek Bersama Semoola terbitan Farm Fresh.

Dari awal dengar pun dah boleh rasa lagu ni bukan jenis terus rancak. Ia mula dengan nada tenang, macam suasana pagi Syawal sebelum rumah jadi kecoh dengan tetamu. Tapi makin lama, rentak dia jadi lebih hidup, menggambarkan kemeriahan Raya yang kita semua kenal.
Apa yang buat lagu ni lagi ‘kena’ dengan jiwa rakyat Malaysia? Liriknya memang dekat dengan realiti. Dari momen balik kampung, gelak tawa satu keluarga, sampai kanak-kanak sibuk kutip duit raya. Simple, tapi kena.
Menariknya, vokalis dan penulis lagu mereka, Kimal, dapat ilham untuk hasilkan lagu ni masa terlibat dengan penceritaan filem pendek Bersama Semoola. Jadi memang tak hairan kalau struktur emosi lagu ni rasa macam ada jalan cerita sendiri.
Lebih ‘kaypoh’ sikit, proses kreatif dia pun bukan dalam studio semata-mata. Idea datang masa drive, lepak dengan anak-anak, bahkan masa minum susu Farm Fresh. Nampak macam biasa, tapi dari situ lahirnya rasa jujur dalam lagu ni.
Dalam industri muzik yang sekarang banyak kejar trend cepat viral, Margasatwa ambil jalan lain. Mereka nak hasilkan lagu yang boleh bertahan lama, jenis yang setiap kali Raya, orang akan cari balik. Kiranya nak jadi lagu ‘evergreen’ versi generasi sekarang.
Untuk yang belum familiar, Margasatwa bukan nama baru dalam scene muzik tempatan. Ditubuhkan sejak 2017 di Kuala Lumpur, mereka dikenali dengan gabungan bunyi psychedelic rock, jazz dan elemen Nusantara. Dari lagu ‘Ego’ sampai ke album Seribudaya (2024), identiti muzik mereka memang konsisten. Puitis, eksperimental, dan ada sentuhan klasik era 70-an.
Jadi persoalannya, adakah Gembira Raya mampu jadi lagu Raya wajib setiap tahun? Itu mungkin bergantung pada korang. Tapi satu yang pasti, lagu ni ada ‘rasa’ yang jarang kita dengar dalam lagu Raya moden sekarang.



Comments