“Malam Terlarang” Raih RM3 Juta Pembukaan — Filem Seram Tempatan Yang Lain Dari Kebiasaan
- N

- 4 minutes ago
- 2 min read
Filem seram terbaharu terbitan Astro Shaw, Malam Terlarang, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan pembukaan RM3 juta hanya dalam tempoh beberapa hari tayangan.

Kejayaan luar biasa ini membuktikan bahawa penonton tempatan masih dahagakan karya seram berkualiti tinggi dengan sentuhan budaya dan mistik Nusantara yang dekat di hati rakyat Malaysia.
Filem ini menampilkan gandingan pertama kali Zul Ariffin dan Sofia Jane, diarahkan oleh pengarah baharu berbakat, Labu, serta diterajui oleh Hazo Mahayuddin selaku pencipta dan penerbit kreatif.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Malam Terlarang merangkap Ketua Astro Shaw:
“Kami amat berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada penonton yang memilih untuk menonton Malam Terlarang di pawagam. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa karya tempatan yang dihasilkan dengan kualiti tinggi dan jalan cerita yang dekat dengan jiwa penonton masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.”
Raja Jastina turut mengajak mereka yang belum menonton agar mengalami sendiri pengalaman sinematik filem ini di pawagam, sambil menjanjikan pengalaman seram yang “lebih mengujakan dan berbeza” di layar besar.

Filem ini menjadi bualan hangat di media sosial, dengan ramai penonton memuji keberanian pengarah mengetengahkan elemen mistik dan kepercayaan lama Nusantara yang jarang dipaparkan dalam filem moden Malaysia.
Antara komen penonton:
“Cubaan menarik daripada Team Malam Terlarang. Dah tonton dan aku agak terkesima dengan pembikinannya. MESTI TONTON!” – @Don_Aziz
“Korang kena tengok Malam Terlarang. Much better than Conjuring! Aku rate 8.7/10.” – @ItsAryya
“Cerita Malam Terlarang best! 10/10 sebab jumpscare tak meleret, jalan cerita padu, dan berdasarkan amalan pujaan lama yang pernah diharamkan.” – @HilmiHimself

Berlatarkan era 1980-an, Malam Terlarang membawa penonton menyelami kisah sebuah keluarga yang menyimpan rahsia gelap merentas generasi.
Kisah bermula dengan Mawar (lakonan Shasha Abedul), gadis berusia 18 tahun dari Kampung Pasir Larung yang bercita-cita menjadi wartawan. Namun, impiannya tertangguh kerana terpaksa menjaga ibunya, Sarimah (Sofia Jane), sementara bapanya Omar (Zul Ariffin) sibuk dengan kerjaya politik.

Pemergian mengejut kakaknya, Safar, membuka pintu kepada misteri seram yang penuh kejadian paranormal dan ritual terlarang. Mawar nekad mencari punca di sebalik kematian Safar, sekaligus menyingkap kebenaran yang menakutkan tentang keluarganya sendiri.
Selain Zul Ariffin dan Sofia Jane, filem ini turut menampilkan Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, Amir Nafis, Haneesya Hanee, Aila Azizul dan Sadiq M. Jamil, dengan penampilan istimewa beberapa pelakon terkenal di pawagam terpilih.

Malam Terlarang bukan sekadar filem seram biasa, ia adalah gabungan visual yang memukau, lakonan mantap dan jalan cerita berlapis yang menonjolkan keindahan serta sisi gelap budaya Nusantara.
Filem ini kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jangan lepaskan peluang untuk alami sendiri malam yang tidak sepatutnya dilalui, Malam Terlarang.









Comments