top of page

Malam Gala “Misteri Fraser 1910” Bakal Gamit Perhatian Peminat Sejarah dan Seram

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 6 days ago
  • 1 min read

Filem “Misteri Fraser 1910” yang diinspirasikan daripada kisah sebenar kehilangan misteri peneroka Bukit Fraser, Louis James Fraser, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Jun 2025. 


Sebelum tayangan rasmi bermula, malam gala eksklusif filem ini akan diadakan di GSC Midvalley yang menandakan pelancaran rasmi karya sulung terbitan Millionaire Film Production Sdn. Bhd.



Malam gala ini dijangka menjadi tumpuan ramai termasuk penggiat industri, selebriti, serta peminat filem tempatan yang teruja menyaksikan sebuah kisah sejarah dipersembahkan dengan gabungan elemen seram, mistik dan dramatik.


Filem “Misteri Fraser 1910” mengisahkan mengenai Louis James Fraser, seorang peneroka dari Scotland yang mula membangunkan Bukit Fraser sekitar tahun 1890.


Berbekalkan kekayaan hasil perlombongan bijih emas, beliau membina kawasan itu menjadi bandar dan pusat sosial elit, terutama dalam kalangan tentera British.


Namun, pada tahun 1910, Fraser tiba-tiba menghilang tanpa jejak. Keretanya ditemui ditinggalkan di tepi jalan berhampiran hutan, manakala banglo serta perniagaannya ditinggalkan begitu sahaja. 


Barisan pelakon hebat seperti Josiah Hogan, Siti Hariesa, Amai Kamarudin, Isyariana, Erry Putra serta legenda industri seperti Datuk Rahim Razali turut hadir memeriahkan acara. 


Filem ini bukan sahaja mengetengahkan nilai sinematik tempatan, malah telah mencipta pencapaian antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Best First Time Filmmaker di Lift Off Global Network Sessions Vol. 4 di Pinewood Studio, UK.


Dengan gabungan visual klasik era 1910, naratif misteri dan fakta sejarah, malam gala di GSC dijangka menjadi permulaan gemilang bagi tayangan “Misteri Fraser 1910” di layar perak.


Commentaires


bottom of page