Majlis Raya KKM: Artis Hadir Tanpa Bayaran, Sekadar Raikan Warga Kementerian
- Nurul Safiah
- 2 days ago
- 1 min read

Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini menarik perhatian netizen selepas gambar-gambar majlis berkenaan tular di media sosial.
Namun, beberapa artis yang hadir menjelaskan bahawa kehadiran mereka adalah atas jemputan peribadi dan bukan untuk persembahan berbayar seperti yang didakwa segelintir pihak.
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan beliau hadir ke majlis berkenaan sebagai tetamu, bukan artis jemputan, dan membuat persembahan secara spontan serta ikhlas tanpa sebarang bayaran.
“Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM, atas rela hati dan tanpa bayaran. Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita,” jelas beliau menerusi kenyataan di media sosial.
Siti turut menegaskan kehadirannya adalah tanda sokongan kepada warga KKM yang telah banyak berkorban dalam menjaga kesihatan rakyat.

Sementara itu, penyanyi legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah pula memaklumkan bahawa beliau menerima jemputan daripada Ketua Setiausaha KKM yang merupakan sahabat lamanya, dan bersetuju membuat persembahan sebagai tanda persahabatan.
“Disebabkan saya ini kawan kepada datuk KSU, jadi saya tak kira berapa dia nak bagi, saya ambil. Saya besar hati dapat menghiburkan PMX dan warga KKM,” katanya.
Majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menampilkan elemen kebudayaan dengan persembahan tarian tradisional Melayu, selain kehadiran ramai warga kerja KKM dari pelbagai peringkat.
KKM dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai penganjuran majlis tersebut.
Walaupun wujud pelbagai reaksi terhadap majlis ini, hakikatnya ia turut menjadi ruang untuk menghargai petugas kesihatan yang telah bertungkus-lumus berkhidmat demi kesihatan rakyat Malaysia.
Comments