MAGIKA STUDIOS Tarikan Eko-Pelancongan & Eduatainment Baharu Di Selangor, Dibuka Pada 2026!
- N

- 50 minutes ago
- 2 min read
Selangor bakal menerima satu lagi tarikan pelancongan unik apabila Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bersama KRU Entertainment Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik bagi membangunkan Magika Studios, sebuah destinasi eko-pelancongan dan didik-hibur (edutainment) terbaharu di Mangrove Point, Pelabuhan Klang.

Dibangunkan di kawasan seluas 70 ekar yang merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Raja Lumu, Magika Studios menggabungkan keindahan alam semula jadi, teknologi moden serta penceritaan kreatif bagi menyemai kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan Sungai Klang.
Menariknya, Magika Studios diinspirasikan daripada kejayaan filem ikonik Magika terbitan KRU yang pernah memenangi pelbagai anugerah. Kini, dunia fantasi itu bakal ‘dihidupkan’ dalam bentuk taman tema berkonsepkan hiburan berteras pendidikan dan kelestarian alam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim, berkata projek ini merupakan platform gabungan kreativiti, teknologi dan kelestarian untuk menyampaikan mesej penting tentang penjagaan alam sekitar.
“Magika Studios akan menjadi jambatan antara hiburan dan pendidikan alam sekitar. Ia membuktikan bahawa pembangunan mampan boleh dicapai melalui pendekatan kreatif,” jelas beliau.

Magika Studios merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Fasa II Pelan Pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG) 2024–2030, yang menekankan pembangunan berteraskan ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus).
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, menyifatkan projek ini sebagai langkah penting dalam mengubah persepsi Sungai Klang daripada sekadar sungai pemulihan kepada nadi baharu ekonomi hijau dan pelancongan negeri.
“Magika Studios bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang pemuliharaan sungai, malah merangsang aktiviti ekonomi dan pelancongan di Selangor,” katanya.

Antara tarikan utama yang bakal menanti pengunjung termasuk Persembahan animatronics & audio visual yang menghidupkan watak dongeng tempatan, Pencahayaan immersive di hutan paya bakau, Pameran interaktif kasih sayang terhadap haiwan, Boardwalk sepanjang 1 kilometer untuk lawatan berpandu di habitat semula jadi dan Aktiviti sungai dan air untuk pelancong serta komuniti setempat
Gabungan elemen fantasi, alam semula jadi dan teknologi ini dijangka menjadi pengalaman unik yang sukar dilupakan.
Dengan jarak hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, Magika Studios dijangka menjadi antara produk pelancongan baharu Selangor yang paling dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Projek ini juga dijangka memberi impak besar kepada:
Industri pelancongan
Sektor pendidikan kreatif
Ekonomi hijau
Komuniti setempat

Majlis pengumuman ini menandakan permulaan kepada pembangunan penuh Magika Studios, yang dijadualkan dibuka secara rasmi pada pertengahan tahun 2026.
Ia sekaligus mengukuhkan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Sungai Klang sebagai sungai yang lestari, berdaya huni dan menjadi kebanggaan rakyat.









Comments