PEAK.KL x HdPc Lancar Tender Chaos, Koleksi Streetwear Yang Raikan Budaya Bola Sepak
- Tasnim Ahmad
- 11 hours ago
- 2 min read
Kalau sebut Tender Chaos, jangan bayangkan sekadar koleksi pakaian biasa. Kolaborasi terbaharu antara PEAK.KL dan HdPc ini membawa satu pendekatan berbeza apabila budaya bola sepak diterjemahkan ke dalam dunia streetwear moden. Menariknya, koleksi ini bukan hanya untuk kaki bola, tetapi juga mereka yang gemarkan fesyen yang ada cerita di sebaliknya.

Bagi ramai orang, bola sepak bukan sekadar permainan selama 90 minit. Ia tentang rutin sebelum perlawanan, persahabatan yang terjalin, emosi ketika menyokong pasukan kegemaran dan kenangan yang terus hidup walaupun wisel penamat sudah dibunyikan. Idea inilah yang menjadi inspirasi utama di sebalik koleksi Tender Chaos.
Nama "Tender Chaos" sendiri menggambarkan dua sisi yang sentiasa wujud dalam dunia bola sepak. "Tender" melambangkan sisi yang lebih tenang seperti persediaan sebelum perlawanan, gaya berpakaian, persahabatan dan ritual yang menjadi kebiasaan setiap minggu. Dalam masa sama, "Chaos" pula mewakili aksi penuh intensiti di atas padang, daripada terjahan keras, tekanan permainan sehinggalah detik-detik yang tidak dijangka.
Konsep ini kemudian diterjemahkan ke dalam rekaan pakaian yang menggabungkan elemen bola sepak vintaj dengan sentuhan streetwear kontemporari. Hasilnya, setiap helaian bukan sekadar pakaian sukan, tetapi juga sesuai dipakai sebagai gaya harian.
Koleksi kapsul ini menampilkan 10 rekaan yang merangkumi jersi, baju ragbi, kemeja butang, tee grafik dan juga jorts. Antara item yang ditawarkan termasuk Buddies Jersey L/S, Tender Chaos Jersey, Rugby Shirt, Double Sleeve Shirt, Knitted Jersey, Washed Denim Jorts, Wool 442 Jorts, Crack Tee, Celebration Tee dan Dribble Quotes Tee.
Apa yang membezakan kolaborasi ini ialah gabungan tiga budaya yang semakin rapat dalam kalangan generasi muda iaitu bola sepak, skateboard dan streetwear. Setiap rekaan cuba mengekalkan identiti klasik sukan tersebut sambil diberikan sentuhan moden yang lebih versatil untuk dipakai di luar padang.
Bagi yang mengikuti perkembangan jenama streetwear tempatan, PEAK.KL sememangnya dikenali sebagai jenama yang banyak mengetengahkan budaya bandar Kuala Lumpur sejak 2016. Sementara itu, HdPc pula muncul pada 2022 sebagai jenama yang diasaskan oleh pasukan di sebalik Hundred Percent dengan identiti yang dekat dengan komuniti kreatif dan budaya jalanan.
Kolaborasi Tender Chaos membuktikan bahawa fesyen dan bola sepak kini semakin sukar dipisahkan. Apa yang dipakai bukan lagi sekadar uniform ketika bermain, tetapi turut menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan identiti peminatnya.
Bagi yang berminat mendapatkan koleksi ini, Tender Chaos kini sudah boleh didapati menerusi laman web rasmi PEAK.KL dan HdPc.







Comments