top of page

Lagu Klasik M. Nasir Dihidupkan Semula Oleh Puspa Indah

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 7 hours ago
  • 2 min read
ree

Penyanyi muda dari Padang, Indonesia, Puspa Indah kini rasmi mengorak langkah ke pasaran muzik Malaysia menerusi remake lagu klasik “Madah Dan Kerenah”, karya dua komposer legenda M. Nasir dan S. Amin Shahab. Ya, dua nama besar di sebalik lagu ikonik “Suci Dalam Debu” dan “Isabella” yang sampai hari ini masih hidup dalam memori pendengar Nusantara.


Lagu yang pernah dipopularkan oleh Ramlah Ram pada era 80-an dan 90-an ini diberi nafas baharu menerusi interpretasi vokal Puspa Indah yang lembut tetapi tetap bertenaga. Versi baharu ini cuba mengekalkan jiwa asal lagu sambil disuntik sentuhan produksi moden supaya kekal relevan dengan citarasa pendengar hari ini.


Puspa Indah Armydea, yang juga finalis Liga Dangdut Indosiar 2020, menyifatkan projek ini sebagai satu pencapaian besar dalam kerjayanya. Menurut Puspa, beliau bersyukur apabila diberi kepercayaan untuk membawakan karya ciptaan dua seniman besar, apatah lagi apabila projek ini diterbitkan oleh label muzik tersohor Malaysia, Luncai Emas. Untuk pasaran Indonesia pula, lagu ini diedarkan dengan kerjasama Dua Suara Media.


Idea untuk merakam semula “Madah Dan Kerenah” tercetus hasil kerjasama antara produser dari Padang, Hardo Maret bersama Luncai Emas dalam sebuah projek khas. Puspa Indah dipilih kerana keunikan vokal dan karakter nyanyiannya yang dilihat serasi dengan emosi lagu ini. Bagi Puspa sendiri, peluang ini bukan sekadar satu kolaborasi biasa, tetapi langkah penting untuk memperluaskan sayapnya ke peringkat serantau.


ree

Proses rakaman lagu dan video muzik dilakukan sepenuhnya di Padang, Sumatera Barat. Rakaman audio dikendalikan oleh Hardo Maret bersama pasukannya iaitu Ibel Santano, Iwan Romeo dan Rozac Tanjung. Manakala penggambaran video muzik pula berlangsung di jeti perairan Bungus menerusi produksi Limbago Team, dengan visual yang simple tetapi kuat dari segi suasana.


Pelancaran semula lagu ini turut dilihat sebagai usaha berterusan untuk mengangkat karya komposer Malaysia ke pasaran Indonesia. Sebelum ini, beberapa karya di bawah hak cipta Luncai Emas telah mencipta fenomena di negara jiran, termasuk “Tiara” nyanyian Raffa Affar, serta “Suci Dalam Debu” dan “Isabella” yang sememangnya sudah lama menambat hati pendengar Indonesia.


Datuk M. Nasir selaku pengasas dan pemilik Luncai Emas berharap remake “Madah Dan Kerenah” versi Puspa Indah mampu mengulangi kejayaan lagu asal dan diterima oleh generasi baharu pendengar di Malaysia dan Indonesia. Harapan yang sama turut dikongsi oleh Sandy Monteiro, Pengarah Presiden Dua Suara Media.


Single “Madah Dan Kerenah” kini sudah boleh ditonton menerusi YouTube Dua Suara Media, manakala audio penuh boleh distrim di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Lagu lama, rasa baharu. Kalau kena dengan vibe, memang berpotensi jadi hits semula.



Comments


bottom of page