KPop Demon Hunters Menang Oscar, Filem Animasi Terbaik
- Tasnim Ahmad
- Mar 16
- 2 min read
Fenomena KPop Demon Hunters nampaknya belum reda. Filem animasi aksi muzikal dari Netflix itu sekali lagi mencipta sejarah apabila memenangi Filem Animasi Terbaik di Academy Awards ke-98, yang berlangsung di Dolby Theatre.

Kemenangan ini mengukuhkan lagi status filem tersebut sebagai antara karya animasi paling berpengaruh dalam dunia hiburan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sejak ditayangkan pada 2025 di Netflix, KPop Demon Hunters terus menjadi bualan peminat. Malah menurut laporan, filem ini menjadi judul paling banyak ditonton di platform itu dalam tempoh enam bulan pertama dengan kira-kira 482 juta tontonan.
Bukan itu sahaja, video lirik rasmi daripada soundtrack filem tersebut turut mencatat lebih 32 juta tontonan, membuktikan gabungan animasi, aksi dan muzik K-Pop memang kena dengan selera penonton global.
Filem ini membawa konsep yang agak unik. Ia mengisahkan kumpulan gadis K-Pop terkenal dunia bernama Huntrix, yang dianggotai Rumi, Mira dan Zoey.
Di atas pentas, mereka ialah bintang global yang dipuja peminat. Tetapi di sebalik populariti itu, trio ini sebenarnya mempunyai identiti rahsia iaitu pemburu syaitan yang melindungi dunia daripada ancaman makhluk gelap.
Gabungan aksi, muzik dan elemen fantasi menjadikan jalan ceritanya mudah diikuti, malah cukup menghiburkan untuk penonton pelbagai peringkat umur.
Selain memenangi kategori utama animasi, filem ini turut mendapat pencalonan Lagu Asal Terbaik menerusi lagu Golden, ciptaan EJAE dan Mark Sonnenblick.
Soundtrack filem ini juga menjadi antara faktor utama kejayaannya. Malah sebelum ini, lagu daripada filem tersebut turut memenangi kategori Best Song Written for Visual Media di Grammy Awards, sekali gus mencatat sejarah sebagai kemenangan Grammy pertama untuk lagu K-Pop.
Sebelum menawan Oscar, KPop Demon Hunters sebenarnya sudah mengumpul pelbagai trofi besar.
Antaranya termasuk kemenangan di Critics Choice Awards dan Golden Globe Awards bagi kategori Filem Animasi Terbaik serta Lagu Asal Terbaik.
Filem ini diterbitkan oleh Sony Pictures Animation dan diarahkan oleh Maggie Kang bersama Chris Appelhans.
Dalam kategori yang sama di Oscar tahun ini, beberapa filem animasi lain turut bersaing termasuk Zootopia 2, Elio, Arco dan Little Amelie or the Character of Rain.
Namun akhirnya, KPop Demon Hunters berjaya mencuri perhatian juri dan membawa pulang trofi paling berprestij itu.
Kalau tengok sambutan yang diterima, kejayaan filem ini sebenarnya tak terlalu mengejutkan. Gabungan budaya K-Pop, animasi berkualiti tinggi dan muzik catchy membuatkan ia mudah diterima oleh penonton di seluruh dunia.

Boleh kata, KPop Demon Hunters bukan sekadar filem animasi biasa tapi ia sudah menjadi satu fenomena pop culture global.



Comments