top of page

Kotak Rai 21 Tahun Dengan Konsert Istimewa di Zepp KL, Arda Hatna Turut Beraksi!

  • kaypohmedia
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Kerinduan para peminat terhadap persembahan bertenaga kumpulan rock ikonik Indonesia, Kotak bakal terubat! Sempena ulang tahun ke-21 mereka dalam industri muzik, Kotak bakal menggegarkan pentas Zepp Kuala Lumpur pada 21 September 2025 dalam sebuah konsert eksklusif bertajuk Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna.

ree

Lebih istimewa, persembahan ini turut menampilkan Arda Hatna, vokalis kumpulan Naff dan juga suami kepada vokalis utama Kotak, Tantri Syalindri. Gabungan dua figura berpengaruh ini pasti menjanjikan malam penuh emosi, nostalgia dan suara lantang yang menyentuh jiwa.


“Ini bukan sekadar konsert. Ia adalah penghormatan kepada era muzik yang membentuk ramai daripada kita,” ujar Syira Yusof dari Boomset Planning, penganjur konsert ini.

Konsert ini dibawakan oleh GemaWave, sebuah platform hiburan yang meraikan getaran muzik Asia Tenggara, dan merupakan projek sulung mereka yang menyatukan peminat muzik pelbagai generasi.


Ditubuhkan pada tahun 2004, Kotak telah melalui pelbagai cabaran dan pertukaran anggota. Namun, semangat mereka tidak pernah pudar, malah terus menyala bersama sokongan padu ‘Kerabat Kotak’ gelaran rasmi buat peminat tegar mereka.


Konsert ini dijangka membawa peminat mengimbau kenangan bersama lagu-lagu popular seperti “Pelan-Pelan Saja”, “Masih Cinta”, “Selalu Cinta”, dan “Hilang” serta tidak dilupakan lagu-lagu hit Arda seperti “Terendap Laraku”, “Akhirnya Ku Menemukanmu”, dan karya solonya “Pelabuhan Terakhir”.


Tantri sendiri mengakui keterujaan bergandingan bersama suaminya di atas pentas, menyifatkan ia sebagai satu momen peribadi yang tidak akan dilupakan.


“Kalian hanya perlu tahu bahawa Kotak dan Arda tidak sabar menjayakan konsert ini. Ia bukan sahaja sambutan ulang tahun Kotak, tetapi juga momen bermakna buat kami sebagai pasangan,” luah Tantri penuh emosi.
ree

Kerabat Kotak, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini! Tiket boleh didapati bermula daripada RM198 sahaja.


Long Live Kotak!Jangan lupa tandakan kalendar anda dan bersiap untuk malam penuh semangat rock, cinta dan kenangan di Road to 21st Anniversary Kotak x Arda Hatna. Sampai jumpa di Zepp KL!

Comentários


bottom of page