Konsert Malam Qolbu 2026 Himpunkan Opick, Mawi, Rabbani dan UNIC Dalam Malam Penuh Selawat
- N

- 12 hours ago
- 2 min read
Konsert Malam Qolbu bakal menjadi antara acara Islamik yang dinanti-nantikan tahun ini apabila menghimpunkan beberapa nama besar seperti Opick, Mawi, Rabbani, UNIC dan The Rayhan dalam satu malam yang sarat dengan pengisian rohani pada 24 Ogos 2026 di Idealive Kuala Lumpur.
Bersempena sambutan Maulidur Rasul, acara ini hadir bukan sekadar sebagai persembahan muzik Islamik biasa. Sebaliknya, ia membawa pendekatan yang lebih dekat dengan masyarakat melalui seni, selawat dan kisah-kisah yang mengingatkan kembali kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Menariknya, konsep yang diketengahkan adalah Islamik Nusantara Musik, dengan gabungan persembahan muzik, elemen penceritaan dan visual yang disusun bagi memberikan pengalaman lebih menyentuh hati kepada para hadirin.
Antara yang bakal menjadi tumpuan ialah kemunculan penyanyi dari Indonesia, Opick, yang terkenal dengan lagu-lagu berunsur kerohanian. Tidak ketinggalan, Mawi yang pernah mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tempatan, serta kumpulan nasyid popular Rabbani, UNIC dan The Rayhan yang sememangnya cukup dekat dengan peminat muzik Islamik di Malaysia.
Selain persembahan nyanyian, malam tersebut turut diserikan dengan segmen khas seperti Gimik Pembukaan Sirah & Cahaya, Interlude Pantomim dan Visual Poetry sebelum ditutup dengan alunan Selawat Nabi yang dijangka menyatukan seluruh hadirin dalam suasana penuh ukhuwah.

Penganjur berharap Konsert Malam Qolbu mampu membuka lembaran baharu buat industri hiburan Islamik tempatan. Jika di Indonesia program berkonsepkan kerohanian mendapat sambutan luar biasa, Malaysia juga dilihat mempunyai kelompok masyarakat yang semakin dahagakan pengisian yang lebih mendidik dan memberi ketenangan jiwa.
Lebih menarik, generasi muda kini bukan sahaja aktif menganjurkan acara hiburan semata-mata, malah semakin ramai yang tampil membawa program yang menggabungkan elemen seni dan dakwah dalam pendekatan yang lebih segar.
Konsert Malam Qolbu merupakan hasil kerjasama antara Duyufurrahman Travel & Tours Sdn Bhd, Aftermusic Project dan Laskar Entertainment. Ia turut mendapat sokongan ZAYAN sebagai radio rasmi, manakala Gempak dan Salam Musik bertindak sebagai rakan media digital.

Bagi mereka yang berminat, tiket telah mula dijual dengan harga bermula dari RM250 hingga RM350. Harga khas pelajar turut disediakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda untuk turut serta dalam acara ini.
Dalam dunia yang penuh dengan pelbagai bentuk hiburan hari ini, mungkin sesekali kita juga perlukan ruang untuk berehat, mengisi jiwa dan menikmati hiburan yang membawa ketenangan. Konsert Malam Qolbu dilihat sebagai salah satu platform yang cuba menawarkan pengalaman tersebut kepada masyarakat Malaysia.



Comments