top of page

Konsert Homecoming Ella Kini Di SPICE Arena, Ramli Sarip dan Ziana Zain Turut Beraksi 22 Ogos Ini

  • Writer: N
    N
  • 11 hours ago
  • 2 min read

Peminat Ratu Rock negara nampaknya perlu menanda semula kalendar mereka. Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru kini akan berlangsung di SPICE Arena, Pulau Pinang pada 22 Ogos 2026, dengan pengalaman yang dijanjikan lebih dekat, selesa dan penuh nostalgia buat para peminat.

Perubahan tarikh dan lokasi ini dibuat selepas perbincangan bersama pihak penganjur, pasukan produksi serta Ella sendiri. Matlamatnya cukup mudah, iaitu memastikan konsert kepulangan istimewa penyanyi legenda itu ke negeri kelahirannya dapat dinikmati dalam suasana yang lebih optimum.


Pemilihan SPICE Arena bukanlah sesuatu yang asing buat peminat setia Ella. Venue ini pernah menjadi lokasi konsert “Jilid Akhir: Ella Puteri Kota” yang berjaya menghimpunkan lebih 14,000 penonton. Sebab itu, ramai peminat melihat kepulangan ke SPICE Arena sebagai sesuatu yang cukup sentimental.

Selain faktor nostalgia, lokasi tertutup ini juga menawarkan pengalaman yang lebih imersif dengan susun atur penonton yang lebih dekat dengan pentas serta sistem akustik yang lebih terkawal. Tidak perlu risau soal hujan atau cuaca tidak menentu kerana semuanya berlangsung dalam ruang yang lebih selesa.


Menurut pihak penganjur, perubahan ini turut mengambil kira permintaan ramai yang mahu merasai semula kemeriahan seperti konsert terdahulu di venue sama. Walaupun tarikh asal yang dirancang adalah pada 25 Julai, kekangan ketersediaan lokasi menjadikan 22 Ogos sebagai pilihan terbaik.


Berita baik buat mereka yang sudah mendapatkan tiket, harga tiket kekal seperti diumumkan sebelum ini. Pemegang tiket sedia ada juga tidak perlu membuat pembelian baharu kerana tempat duduk akan dipindahkan secara automatik kepada lokasi yang mempunyai nilai setara di SPICE Arena tanpa sebarang kos tambahan.

Menariknya, konsert ini turut meneruskan kempen “Peace, Love & Rindu”. Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada beberapa organisasi kebajikan terpilih, sekali gus memberikan nilai tambah kepada sambutan ulang tahun ke-60 ikon rock tanah air ini.


Kalau itu masih belum cukup mengujakan, konsert Homecoming ini bakal diserikan dengan kehadiran dua nama besar industri muzik tempatan, iaitu Ramli Sarip dan Ziana Zain sebagai artis jemputan istimewa. Beberapa lagi nama bakal diumumkan dalam masa terdekat.


Bukan sekadar muzik, peminat juga digalakkan menghidupkan suasana dengan tema “Glam Rock 90’s: Battle of The Bands”. Jaket denim, jaket kulit dan but antara gaya yang cukup sinonim dengan era kegemilangan Ella bersama Ella & The Boys pada tahun 1990-an.


Ella sendiri menyambut baik perubahan tersebut dan mengakui beliau tidak sabar untuk kembali bertemu peminat di Utara yang sentiasa menyokong perjalanan seninya selama ini.


Bagi peminat muzik rock tempatan, konsert Homecoming ini bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-60 Ella, tetapi juga menjadi satu pertemuan istimewa yang membawa kembali memori zaman kegemilangan rock Malaysia. Jadi, siapa yang dah mula mencari jaket kulit dan denim dalam almari?

Comments


bottom of page