top of page

Konsert For You Nourul di Zepp KL: Vokal Masih Padu Selepas 3 Dekad

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Kalau sebut Konsert For You Nourul, memang ramai peminat terus teringat satu perkara iaitu penantian lebih 30 tahun akhirnya terjawab apabila penyanyi Nourul Wahab Depp akhirnya muncul dengan konsert solo impiannya di Zepp Kuala Lumpur malam tadi. Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tapi lebih kepada perjalanan hidup seorang artis yang sudah lebih tiga dekad dalam industri, dan masih kekal relevan dengan vokal yang tetap kuat.

Foto Suara.TV


Seawal pembukaan, suasana dah dibawa ke era 90-an apabila kumpulan koir menyampaikan lagu-lagu popular seperti Tika Cinta, Keliru dan Cinta Azali, membuatkan penonton terus hanyut dalam nostalgia. Bila Nourul muncul dengan lagu Rindu dan Impianku, sorakan terus bergema, jelas vokalnya masih stabil dan bertenaga walaupun selepas puluhan tahun bergelar penyanyi.


Sepanjang malam, dewan Zepp KL jadi macam mesin masa bila lagu-lagu seperti Janji Manismu, Kau Kunci Cintaku dan Sembilu dinyanyikan semula bersama peminat yang memang tak berhenti menyanyi. Nourul juga beberapa kali kelihatan sebak bila berkongsi perjalanan panjangnya, termasuk bagaimana impian untuk konsert solo ini akhirnya tercapai selepas lebih 32 tahun.


Momen malam tu jadi lebih “kaypoh” bila Ning Baizura muncul sebagai tetamu khas dan bergabung dengan Nourul menerusi Selagi Ada Cinta, diikuti kemunculan Mimi Fly yang bagi energi lain macam menerusi beberapa lagu termasuk Keliru. Penonton memang sporting, siap berdiri bagi penghormatan.


Nourul turut tampil berbeza dengan lagu berbahasa Perancis Aujourd'hui serta tribute kepada idolanya Celine Dion menerusi That’s The Way It Is, menunjukkan versatiliti yang ramai mungkin tak selalu nampak. Dalam satu segmen lain, beliau juga berkongsi kisah di sebalik lagu Rinduku Padamu yang dicipta oleh bekas suaminya Ajai, menjadikan suasana sedikit emosi tapi sangat peribadi.

Foto Suara.TV


Menjelang akhir persembahan, Nourul memperkenalkan lagu baharu Andai Ku Kenaliku sebelum menutup malam dengan Kerana Terluka yang dinyanyikan bersama penonton. Secara keseluruhan, “For You Nourul” bukan sekadar konsert, tapi sebuah penghargaan terhadap perjalanan seni, ketabahan dan cinta seorang penyanyi terhadap muzik yang membentuk dirinya sejak dulu sampai sekarang.

Comments


bottom of page