Konsert Elite Live ’25: Malam Penuh Nostalgia & Vibe "Mak-Mak" Mencuri Perhatian
- N

- Sep 22
- 1 min read

Sabtu lalu, Dewan Plenari KLCC jadi saksi kembalinya kumpulan wanita legenda 90-an, Elite, yang menggegarkan pentas dengan konsert Elite Live ’25. Lebih 2,000 peminat hadir bagi meraikan lima ahli asal Abby Abadi, Linda Rafar, Watie Sadali, Sasha Saidin dan Azza Zawari yang kembali bersatu selepas lebih dua dekad.

Sejak lagu pertama La Diva berkumandang, suasana terus hangat dengan sorakan. Elite tampil bertenaga membawakan rangkaian lagu popular seperti Bahaya, Kau Siapa, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan Bila Lagi. Penutup konsert jadi momen paling dinanti apabila mereka menyajikan Trauma, Tamparan Wanita dan Manis Senyumanmu, yang membuat penonton bernostalgia ke zaman kegemilangan mereka.

Lebih menceriakan, setiap ahli tampil bersahaja dengan seloroh dan gelagat spontan yang menghiburkan. Azza sempat berkongsi kisah pengorbanannya berdiet telur selama tiga minggu demi tampil lebih segar di pentas, satu usaha yang nyata mendapat tepukan gemuruh.
Malam itu turut diserikan dengan persembahan kumpulan Alpha, yang berduet dengan Elite menerusi Di Pintu Syurga dan membawakan lagu mereka sendiri. Tidak ketinggalan kumpulan X-Factor yang membuat kejutan dengan lagu Bertuah dan 725 1364. Suasana jadi lebih meriah apabila selebriti seperti Zain Saidin, Nurkhiriah dan Datuk Seri Vida turut hadir memberi sokongan.
Elite Live ’25 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi pertemuan semula penuh emosi yang membuktikan kuasa nostalgia masih segar di hati peminat. Elite berjaya mengembalikan memori manis era 90-an, sekali gus menunjukkan mereka masih relevan dalam landskap muzik tempatan.













Comments