Konsert Black On White Buktikan Cromok & Barbarik Masih Berbisa
- Tasnim Ahmad
- 14 hours ago
- 2 min read
Konsert Black On White membuktikan muzik rock dan thrash metal tempatan masih mempunyai kelompok peminat yang cukup setia. Berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara pada 27 Jun lalu, konsert yang menghimpunkan Cromok dan Barbarik itu berjaya menyajikan persembahan bertenaga, penuh nostalgia dan diselitkan dengan momen yang cukup menyentuh hati.
Foto HarizBadari
Di sebalik kemeriahan malam itu, vokalis Barbarik, Muss, sebenarnya berdepan ujian peribadi apabila keadaan kesihatan isterinya kembali kritikal sebelum konsert berlangsung. Difahamkan, perkara tersebut hanya dimaklumkan kepadanya selepas persembahan selesai bagi memastikan fokusnya di atas pentas tidak terganggu.
Walaupun berdepan situasi sukar, Muss tetap memberikan komitmen sepenuhnya sebelum terus bergegas ke hospital sebaik tamat konsert. Semangat profesionalisme itu turut dirasai sepanjang persembahan yang berlangsung lancar tanpa sebarang masalah teknikal besar.
Cromok membuka pentas dengan deretan lagu ikonik seperti Black Fury, Prophecy, Stranger, Memories, Another You, I Don't Belong Here, Misery dan Little One. Lebih menarik, kumpulan itu turut memperkenalkan lagu baharu berjudul Wisdom sebagai bukti mereka masih aktif menghasilkan karya baharu.
Menurut pemain gitar Cromok, Karl, membawa lagu yang belum pernah didengari peminat merupakan satu cara untuk menunjukkan kumpulan itu terus produktif dan tidak hanya bergantung kepada lagu-lagu lama.
Salah satu momen paling bermakna malam itu ialah persembahan lagu Fallen Heroes, yang didedikasikan kepada Allahyarham Din dan Allahyarham Miji sebagai penghargaan terhadap jasa mereka dalam sejarah awal penubuhan Cromok.
Barbarik pula meneruskan momentum konsert menerusi lagu seperti Peluru Cokelat, Kasmaran Selamanya, Mencari Asal Usul, Nasib Baik, Periok Api, Inspirasi Syakilla, Sakit Bantal Empuk, Keris Tak Ada Sarong, Gerhana dan Golok Kayu.
Foto HarizBadari
Antara segmen yang paling mendapat sambutan ialah medley lagu-lagu Kembara seperti Hati Emas, Impian Seorang Nelayan, Ekspress Rakyat dan Impian Anak Jalanan. Lebih istimewa, vokalis Cromok, Sam, turut menyampaikan lagu Melayu, sesuatu yang jarang disaksikan peminat dalam persembahan mereka.
Secara keseluruhannya, Konsert Black On White bukan sahaja berjaya menyatukan dua nama besar dalam muzik rock tempatan, malah membuktikan genre ini masih relevan dan terus mendapat sokongan. Gabungan persembahan mantap, elemen nostalgia serta kisah di sebalik pentas menjadikan malam itu satu pengalaman yang sukar dilupakan oleh para peminat.













Comments